KUALA TERENGANU: Pelaksanaan kamera badan pada penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dibuat secara berperingkat tahun ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, bagi peringkat pertama, lebih 100 penguat kuasa termasuk petugas barisan hadapan seperti di pintu masuk negara dilengkapi peralatan itu.
Katanya, proses perolehan bekalan kini giat dijalankan dan kerja-kerja itu dijangka selesai pada Jun ini.
“Kita dalam proses perolehan dan pelaksanaannya dijangka dibuat dalam tahun ini. Saya tiada angka spesifik tetapi untuk peringkat pertama lebih 100 penguat kuasa di samping pegawai yang bertugas di barisan hadapan contohnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta stesen sempadan akan menggunakan kamera badan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Jalinan Kasih Keluarga Malaysia, Program Khidmat Bakti Masyarakat Bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN) di Sekolah Kebangsaan Bukit Bayas, di sini hari ini.
Langkah pemasangan kamera badan itu sebagai usaha menangani salah laku dalam kalangan pasukan beruniform berkenaan.
Dalam masa sama, inisiatif berkenaan bertujuan meningkatkan integriti anggota kastam yang sering dituduh terlibat dengan aktiviti rasuah. – UTUSAN