TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan memberi jaminan tidak akan memasukkan tokoh tahanan Palestin terkenal, Marwan Barghouti ke dalam sebarang rundingan pertukaran tahanan yang mungkin dicapai menerusi perjanjian Gaza kepada Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben Gvir.
Menurut laporan Channel 14 Israel, komitmen itu dibuat dalam satu mesyuarat yang berlangsung pada lewat malam Ahad di Baitulmaqdis selama lebih dua jam dan turut dihadiri oleh Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich.
Dalam pertemuan tersebut, Ben Gvir dikatakan mengemukakan beberapa tuntutan menjelang kemungkinan pelaksanaan perjanjian pertukaran tahanan dengan Hamas.
Memetik sumber yang hadir dalam mesyuarat berkenaan, Channel 14 melaporkan Netanyahu memberi jaminan kepada Ben Gvir “simbol keganasan seperti Marwan Barghouti”tidak akan dibebaskan dalam apa jua keadaan.
Perbincangan itu turut menumpukan kepada kedudukan ketenteraan Israel selepas perjanjian tercapai.
Ben Gvir dan Smotrich dilapor menuntut jaminan agar Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengekalkan kebebasan operasi di Semenanjung Gaza walaupun selepas tahanan Israel dibebaskan pada peringkat awal pelaksanaan perjanjian.
Netanyahu dilaporkan memberi jaminan IDF akan mengekalkan kebebasan penuh bertindak, termasuk hak untuk kembali ke kawasan yang mungkin ditinggalkan sementara sekiranya perjanjian gencatan senjata dilanggar.
Laporan itu turut menyebut Ben Gvir menyuarakan keraguan terhadap penglibatan negara pengantara seperti Mesir dan Qatar, serta memberi amaran agar Israel tidak terlalu bergantung kepada jaminan asing.
Namun, Netanyahu menegaskan Israel akan memperoleh jaminan antarabangsa sambil mengekalkan kebebasan tindakan ketenteraan.
Dua menteri berkenaan turut dilapor membangkitkan cadangan supaya penduduk Gaza didorong untuk berhijrah, namun Netanyahu tidak memberikan sebarang komitmen rasmi terhadap cadangan tersebut. — AGENSI











