Pengkhianatan kepercayaan akar umbi - Wanita PKR Johor

Pengkhianatan kepercayaan akar umbi – Wanita PKR Johor

NAPSIAH KHAMIS MAHARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis Maharan menyifatkan tindakan Parti Amanah Negara (Amanah) menggadaikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai satu pengkhianatan kepercayaan yang telah akar umbi berikan.

Beliau berkata, ini berikutan Amanah dengan mudahnya memberikan kerusi yang paling berharga di Johor kepada satu parti yang belum pasti kesetiaannya.

“Saya cuba berlapang dada apabila kerusi ini (DUN Puteri Wangsa) diberikan kepada Amanah atas kesepakatan rakan lama dalam Pakatan Harapan (PH).

“Saya sudah siapkan jentera-jentera untuk calon Amanah, tetapi Amanah dengan mudah berikan kerusi ini kepada Muda?” Katanya dalam satu hantaran di Twitter, semalam. 

Menurut Napsiah, selepas kerusi itu perlu diberikan kepada Amanah, pihaknya menerimanya atas sikap profesional dan taat pada arahan parti.

Katanya, ini kerana selepas Langkah Sheraton, hanya PKR yang bersungguh-sungguh memulihkan keadaan dan membina semula kepercayaan rakyat di DUN Puteri Wangsa. 

“Sayang dan kasihnya saya pada Puteri Wangsa kerana saya dilahirkan di sini, dibesarkan dan bersekolah, dari umur 10 tahun ikut bapa sebagai pembangkang di Tebrau sehinggalah saya sendiri ceburi bidang politik, saya bantu PKR sehingga kita menang di Parlimen Tebrau dan DUN Tiram.

“Kita ada puluhan ranting di sini. Isunya bukan tentang saya, tetapi saya nak tempat ini (DUN Puteri Wangsa) untuk PKR kerana saya yakin hanya PKR yang boleh menjaga Puteri Wangsa ini. Siapa pun calon mesti dari PKR atau jika tak boleh juga, maka boleh saja dari DAP atau Amanah.

“Apabila Amanah berikan kepada Muda, pada saya ini adalah pengkhianatan kepercayaan yang akar umbi berikan. DUN ini (Puteri Wangsa) menang majoriti 24,000 (pada Pilihan Raya Umum Ke-14), mudahnya memberi kerusi yang paling berharga di Johor kepada satu parti yang belum pasti kesetiaannya,” jelasnya. 

Semalam, media melaporkan, Parti Amanah dan DAP mencapai persetujuan menjadi rakan strategik bersama Muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini. 

Hasil kesepakatan ketiga-tiga parti tersebut, selain DUN Puteri Wangsa, Muda bertanding di lima lagi kerusi iaitu DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, dan Bukit Permai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN