SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan didesak memberikan sebab kukuh berhubung ketetapan supaya mana-mana Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) hendaklah melepaskan sebarang jawatan yang dipegang mereka di masjid dan surau di negeri ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussin menegaskan, ketetapan yang diambil hasil Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 12 Januari lalu itu sebagai satu tindakan jumud dan berfikiran sempit.
“Kenapa berfikiran sempit sampai mana-mana individu yang terlibat perlu meletak jawatan, JPKKP ini hanyalah menjalankan tugas dalam komuniti kampung, bukannya sebuah parti politik.
“Tiada sebarang alasan diberikan dalam arahan tersebut, apakah semua Pengerusi JPKKP ini bukan orang Islam sehingga mereka tidak boleh memegang jawatan di dalam masjid mahupun surau?” katanya hari ini.
Semalam tersebar surat bertarikh 28 Januari 2022 berhubung pemakluman jawatan lantikan kerajaan negeri yang berkepala surat daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) kepada bahagian pengurusan masjid dan surau di seluruh negeri ini.
Surat tersebut memaklumkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 12 Januari lepas membuat ketetapan bahawa mana-mana jawatan kuasa kariah masjid/surau atau pegawai masjid/surau yang ditawarkan sebagai Pengerusi JPKKP hendahlah melepaskan jawatan yang dipegangnya di dalam masjid/surau atau menolak tawaran sebagai Pengerusi JPKKP.
Zool Amali yang juga Pengerusi JPKKP Kampung Rawa menambah, ketetapan tersebut hanya mendatangkan kerugian kepada masyarakat kerana individu yang benar-benar boleh menjalankan tugas namun telah dinafikan khidmat mereka kepada komuniti.
“Sekiranya seseorang itu boleh menjalankan tugas dan khidmatnya dengan baik selain memimpin apakah salahnya? Kerajaan negeri perlu berikan alasan, apa keperluan untuk untuk mereka ini perlu meletakkan jawatan,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE