Disangka budak nakal, rupanya siput ‘tekan loceng’ tengah malam

Disangka budak nakal, rupanya siput ‘tekan loceng’ tengah malam

SEEKOR siput mencetuskan kekecohan di sebuah blok pangsapuri di Jerman kerana merayap pada loceng pintu. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAVARIA: Penduduk sebuah blok pangsapuri di Bavaria, selatan Jerman yang membuat aduan kepada polis selepas diganggu bunyi loceng pintu yang berterusan lewat malam, terkejut apabila mendapati ‘pelakunya’ bukanlah remaja nakal seperti yang disangka, tetapi seekor siput.

Siput itu merayap naik dan turun pada plat loceng pintu, mencetuskan kekecohan di bangunan berkenaan dan mengejutkan penduduk dari tidur mereka pada tengah malam akibat bunyi loceng yang tidak henti-henti.

Pada mulanya, mereka menyangka perbuatan itu adalah sejenis ‘klingelstreich’ atau satu jenaka popular dalam kalangan remaja Jerman yang setara dengan istilah Inggeris seperti ding dong ditch atau knock-a-door run, di mana seseorang akan menekan loceng dan melarikan diri sebelum tuan rumah sempat membuka pintu.

Namun, selepas dua anggota polis tiba dan loceng itu masih berbunyi meskipun tiada sesiapa kelihatan di hadapan pintu, dan pengesan pergerakan tidak mengesan sebarang aktiviti, satu pemeriksaan rapi pada plat loceng logam mendedahkan kehadiran siput tersebut atau dikenali dalam bahasa Jerman sebagai ‘nacktschnecke’.

“Kami sudah masuk tidur dan memang tidak buka pintu selepas pukul 10 malam. Jadi bila loceng berbunyi, saya cuba abaikan. Saya sangka mungkin budak-budak dari rumah terbiar seberang jalan.

“Tapi kemudian kakak ipar saya yang tinggal di tingkat atas telefon dan tanya sama ada loceng rumah kami juga berbunyi, sebab loceng rumahnya tak berhenti-henti. Ia terus berbunyi walaupun kami sedang menelefon dan tiada sesiapa pun di luar pintu.

“Kami mula rasa tak sedap hati. Masa itulah kami putuskan untuk hubungi polis,” kata Lisa, 30, seorang pembantu jualan kepada akhbar tabloid Bild.

Akhirnya, penduduk bersama pihak polis menemui seekor siput merayap pada panel masuk bangunan tersebut.

“Anda boleh lihat kesan lendir yang ditinggalkan semasa ia merayap atas sensor,” kata Lisa lagi.

Jurucakap polis di Schwabach, Bavaria, memaklumkan haiwan tersebut ‘diberi pengajaran’, diingatkan tentang sempadan kawasannya dan dihantar pulang ke kawasan rumput berdekatan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×