NAKHON RATCHASIMA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun rentung dalam kereta selepas ibunya keluar mencari cendawan di kawasan hutan di wilayah Nakhon Ratchasima, Thailand.
Polis dari Balai Polis Hin Dat menerima laporan mengenai insiden kebakaran kereta sekitar pukul 9.15 pagi dan segera bergegas ke lokasi kejadian yang terletak berhampiran komuniti Ban Noi Phatthana, sub daerah Huai Bong, daerah Dan Khun Thot.
Sebaik tiba, pasukan penyelamat mendapati sebuah kereta sedan jenis Chevrolet Aveo berwarna hitam marak dijilat api.
Anggota bomba mengawal kebakaran tidak lama kemudian, namun kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai Kittichai, ditemui tidak bernyawa di dalam kenderaan berkenaan.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Dan Khun Thot untuk bedah siasat.
Menurut laporan media tempatan Matichon, lima individu menaiki kenderaan tersebut, termasuk kanak-kanak itu, ibunya dan tiga wanita lain.
Mereka ke kawasan hutan tersebut bagi mencari cendawan yang banyak tumbuh pada musim hujan.
Kanak-kanak itu ditinggalkan tidur di dalam kereta dengan enjin masih dihidupkan, sementara kesemua wanita dewasa masuk lebih jauh ke dalam hutan untuk mencari hasil hutan tersebut.
Beberapa saksi yang turut mencari cendawan di kawasan sama memberitahu polis mereka terdengar empat letupan sebelum kereta itu tiba-tiba terbakar.
Mereka cuba membantu, namun api marak terlalu cepat dan gagal menyelamatkan mangsa.
Polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran. – AGENSI










