PETALING JAYA: Penduduk Taman Puncak Jalil meminta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dapat mempertimbang pembinaan pusat servis kereta berdekatan kolam takungan air hujan PUJ 6, Taman Puncak Jalil tidak diteruskan.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Puncak Jalil, Zainuddin Zainal berkata, penduduk berharap bangunan yang tidak mendapat kelulusan itu tidak diteruskan dengan struktur yang sedang dalam pembinaan dirobohkan.
Katanya, ini berikutan penduduk inginkan kawasan kediaman yang aman dan sejahtera tanpa adanya aktiviti komersial keterlaluan.
“Saya bagi pihak penduduk mengucapkan ribuan terima kasih kepada MBSJ kerana mengambil tindakan untuk menutup dan menyita kawasan tapak itu.
“Jadi kita beri peluang kepada kepada pihak MBSJ untuk menyelesaikan masalah ini, tetapi dalam masa sama pihak penduduk ingin bangunan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan stesen minyak sepertimana yang diluluskan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Terdahulu, pembinaan pusat servis kereta itu yang sudah menjangkau sehingga 40 peratus menjadi pertikaian penduduk selepas dipercayai tidak mendapat kelulusan MBSJ.
Bagaimanapun, Utusan Malaysia difahamkan, MBSJ sudah menutup dan menyita tapak itu yang sepatutnya dibina sebuah stesen minyak dan bukannya sebuah pusat servis kereta.
Menurut Zainuddin, pihaknya mengharapkan pemaju atau pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil kira pandangan penduduk berdekatan bagi mana-mana pembinaan yang melibatkan pembinaan bentuk komersial.
Katanya, ini kerana tapak itu berdekatan dengan kawasan perumahan, maka ada perlulah sekurang-kurangnya mendapatkan maklumat atau persetujuan dari penduduk.
“Meskipun kelulusan stesen minyak itu tidak mendapatkan sebarang maklum balas dari penduduk, tetapi kami tak membantah kerana itu adalah stesen minyak.
“Ini kerana stesen minyak adalah benda biasa di kawasan perumahan, tetapi jika dibina pusat servis kereta, maka ia agak komersial dan melibatkan gangguan bunyi dan alam sekitar kepada penduduk.
“Kita harapkan selepas ini apa saja aktiviti perdagangan boleh dijalankan di pusat bandar di PUJ 3, jadi buatlah di situ yang kawasannya tidak berdekatan dengan kawasan penduduk,” jelasnya. – UTUSAN