Pejuang sasar tanding 42 daripada 56 kerusi DUN Johor - Utusan Malaysia

Pejuang sasar tanding 42 daripada 56 kerusi DUN Johor

Calon PRN Johor yang akan diperkenalkan nanti mestilah calon bersih, cekap dan amanah. - Mukhriz Mahathir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyasarkan untuk bertanding 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri tersebut.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, partinya sedang berusaha seperti parti lain untuk menawan hati pengundi dan juga rakyat Johor.

Menurut beliau, sasaran kerusi itu masih belum dimuktamadkan kerana ia bergantung pelbagai faktor iaitu antaranya mengenai kesesuaian calon di satu kawasan, persiapan jentera dan sebagainya.

“Saya anggap Pejuang adalah underdog kerana kami masih belum mempunyai tapak yang kukuh di johor walaupun ahli kami di sana ramai dan Pejuang Johor juga aktif di sana.

“Namun, rakyat Johor sedikit demi sedikit mengenali Perjuang sebagai parti yang mampu mengambil alih pimpinan daripada Barisan Nasional (BN) dan mahupun Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam sidang akhbar di ibu negara hari ini.

Dalam pada itu, Mukhriz turut mengakui Pejuang sedang mengadakan perbincangan bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi menghadapi PRN Johor , namun masih belum ada sebarang kata putus mengenainya setakat ini.

Mengulas mengenai Undi18, Ahli Parlimen Jerlun itu berpendapat Pejuang mempunyai tarikan tersendiri untuk menarik minat atau undi orang muda.

“Saya ingin maklumkan, setengah daripada ahli Pejuang adalah orang muda dan ditambah pula dengan barisan tokoh-tokoh yang berpengalaman sebagai wakil serta kerajaan.

“Jadi kerjasama antara orang muda dan lama itu la yang terbaik, menjadi formula untuk negara kita. Yang berpengalaman digandingkan dengan yang bersemangat,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN