JOHOR BAHRU: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan menggunakan imej Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai ‘pelaris’ ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Tun Mahathir tetap dilihat sebagai figura yang mempunyai aura tersendiri dan mampu untuk menarik sokongan serta berupaya menambah keyakinan rakyat bagi memilih parti itu.
Katanya, dengan meletakkan imej bekas Perdana Menteri itu yang disayangi oleh rakyat di negeri ini sebagai ‘poster boy’ dapat memberi nilai tambah kepada gerakan jentera Pejuang.
“Tun Mahathir tidak bertanding di sini dan tidak berhasrat untuk menjadi Menteri Besar. Tetapi saya kira Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan pemimpin parti gambarnya boleh disekalikan dalam poster ketika berkempen.
“Saya juga lihat Tun Mahathir masih tetap disayangi rakyat Johor. Oleh sebab itu, saya rasa tidak salah jika imej beliau dipaparkan dalam poster untuk meyakinkan rakyat,” katanya selepas melancarkan Jentera Pejuang PRN Johor di Taman Universiti di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, Pejuang akan turut mengetengahkan juga wajah dalam kalangan calon tempatan sebagai poster boy.
“Poster boy ini sebenarnya rakyat Johor yang perlu diangkat kerana rakyat sangat harapkan terbaik bagi negeri mereka dan boleh mendapat jaminan masa depan. Kita di Pejuang juga berjanji untuk menampilkan calon-calon yang berkualiti dan berwibawa untuk dipilih pada PRN kali ini,” katanya.
Sementara itu, Mukhriz berkata, kesemua 42 calon Pejuang yang akan bertanding pada PRN Johor akan diumumkan dua hari sebelum hari penamaan calon dan buat masa ini, mereka tidak boleh mendedahkan terlalu awal senarai nama tersebut.
“Kita akan memperkenalkan kesemua calon yang akan bertanding atas tiket parti dengan lebih terperinci terdiri daripada komposisi calon yang akan diperkenalkan kepada pengikut parti.
“Yang pastinya, calon-calon yang akan diperkenalkan nanti mesti calon yang bersih, cekap dan amanah yang akan menjalani ujian psikometrik bagi menunjukkan kesungguhan untuk menampilkan calon terbaik dan berintegriti,” katanya.
Mukhriz turut menegaskan partinya tidak akan menyertai gabungan mana-mana parti mahupun menubuhkan gabungan dan akan bergerak secara solo.
Menurutnya, sasaran kerusi itu masih belum dimuktamadkan kerana ia bergantung pelbagai faktor iaitu antaranya mengenai kesesuaian calon di satu kawasan, persiapan jentera dan sebagainya.
Mengenai keyakinan parti berkenaan untuk berjuang solo, bekas Menteri Besar Kedah itu menjelaskan bahawa Pejuang perlu melangkah dengan yakin walaupun parti baharu itu sedikit terkebelakang.
“Dalam waktu yang sama, ada sejumlah pengundi yang masih di atas pagar, jadi kalau kita berjaya untuk meyakinkan kita, saya rasa ada peluang,” tambahnya. – UTUSAN










