Pasangan suami isteri tular curi 'speaker' dicekup - Utusan Malaysia

Pasangan suami isteri tular curi ‘speaker’ dicekup

TANGKAP layar daripada potongan video daripada rakaman CCTV menunjukkan suspek melarikan alat pembesar suara dari sebuah premis di Puncak Alam, Kuala Selangor, Selangor 9 Februari lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Tindakan sepasang suami isteri yang tular mencuri alat pembesar suara di sebuah kedai aksesori di daerah ini, minggu lalu mengundang padah apabila dicekup polis hari ini.

Selain pasangan itu, seorang lelaki yang juga saudara kandung mereka ditahan di sebuah premis di Puncak Alam, kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, penahanan suspek berusia 16 hingga 31 tahun itu dilakukan hasil laporan mengenai kejadian berkenaan pada 9 Februari lalu.

“Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai aksesori itu mendapati tiga suspek memasuki premis dan mencuri barangan jualan. Barangan yang dilaporkan hilang iaitu dua alat pembesar suara dan lima unit Vape Pen yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM437,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, bertindak atas maklumat dan risikan kes tular itu, pihaknya berjaya memberkas kesemua suspek nahi membantu siasatan.

“Berdasarkan pengakuan salah seorang suspek, kita merampas sebuah alat pembesar suara yang dicuri di lokasi kejadian. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan saki baki barang kes lain,” katanya.

Tambah Ramli, kesemua suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, kejadian itu tular menerusi video berdurasi 20 saat yang memaparkan dua lelaki dan seorang wanita berada di luar sebuah kedai.

Seorang daripada mereka kemudian bertindak mengambil sebuah alat pembesar suara lalu beredar dari lokasi tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN