KLUANG: Sudah tahu salah jalan namun tetap meredahnya. Tindakan pentingkan diri seorang pemandu Perodua Axia itu dikecam warganet di media sosial sejak semalam.
Kejadian yang berlaku di Jalan Lingkaran Tengah, Taman Tasek Indah, di sini dirakam seorang lelaki yang mendakwa pemandu itu dalam keadaan mabuk. Bagaimanapun Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang Deputi Superintenden Abdul Razak Abdullah San berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu tersalah jalan hingga bertindak demikian.
“Kelmarin polis Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang mengesan sebuah video yang tular melalui media sosial Facebook memaparkan sebuah kenderaan dipandu secara melawan arus. Semalam lebih kurang 5.50 petang, Pasukan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPT) Kluang telah mengesan dan menahan lelaki warganegara Malaysia berusia 30-an iaitu pemandu kenderaan tersebut serta merampas sebuah Perodua Axia yang dipandu semasa kejadian.
“Tiada unsur mabuk manakala hasil ujian saringan air kencing suspek negatif,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 42 (l) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE