Op Dadu Khas: 1,355 individu termasuk penjaga ditahan PDRM - Utusan Malaysia

Op Dadu Khas: 1,355 individu termasuk penjaga ditahan PDRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 1,355 orang awam serta penjaga ditahan polis dalam Op Dadu Khas di seluruh negara bermula 25 Januari hingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, kesemua individu itu ditahan melalui 826 serbuan dalam operasi yang dijalankan serentak di seluruh negara.

Menurut beliau, operasi itu secara tidak langsung bagi menangkis tohmahan berkenaan pihak atasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memberikan ‘lampu hijau’ untuk sindiket perjudian dalam talian beroperasi.

“Dalam serbuan itu, kita turut merampas sebanyak 2,558 unit komputer riba, tablet dan telefon bimbit selain wang tunai berjumlah RM189,196 dilakukan.

“Mengikut pecahan negeri, Selangor menduduki tangga teratas dalam tangkapan iaitu membabitkan 132 serbuan dan 342 tangkapan orang serta wang tunai RM30,078 diikuti Johor sebanyak 99 serbuan merangkumi 105 tangkapan dan wang tunai RM45,927.

“Di Kuala Lumpur, sebanyak  94 serbuan dengan 213 tangkapan dijalankan melibatkan wang tunai RM13,965,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Malah, menurut Abd. Jalil, JSJ kini menjalin kerjasama dengan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman bagi memastikan tiada sebarang unsur penglibatan pihak berkuasa atasan dalam PDRM mendalangi sindiket judi online seperti dakwaan-dakwaan luar.

Jelas beliau, pasukan JIPS dilibatkan dalam setiap operasi yang dilaksanakan pihaknya bagi memastikan serbuan yang dilakukan itu mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan setiap laporan operasi akan dirujuk kepada JIPS untuk penilaian lanjut membabitkan anggota dan pegawai yang terlibat operasi.

“Malah kita juga akan siasatan kesemua tangkapan berkenaan kerana mereka menjadi orang suruhan menjaga dan mengoperasikan judi ‘online’ ini selepas menerima arahan orang atasan.

“Kita akan perhebatkan siasatan untuk menarik keluar orang bergelaran yang berselindung di sebalik kegiatan ini kerana kegiatan atas  digital ini dibawa masuk dari luar negara,” tegasnya. –  UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN