PETALING JAYA: Langkah menaikkan gaji minimum sebanyak RM1,500 dijangka mendatangkan kesan domino kepada pertumbuhan negara dan meningkatkan kecairan pasaran serta membantu sektor perniagaan domestik.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau berharap cadangan gaji minimum itu menjadi realiti tidak lama lagi demi menghargai hasil titik peluh pekerja dengan cara lebih adil dan bermaruah.
Beliau menghormati kenyataan Presiden Persatuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Syed Hussain Syed Husman yang berpendapat bahawa langkah tersebut membebankan majikan yang baru sahaja hendak bernafas semula akibat Covid-19 dan kelembapan ekonomi.
Sebaliknya jelas beliau, semua pihak perlu faham dalam konteks lebih besar dan kritikal apabila gaji minimum dinaikkan maka akan ada beberapa impak domino yang segera.
“Misalnya peningkatan kuasa beli orang awam, khususnya dalam kalangan B40. Ia membolehkan mereka menikmati kehidupan yang lebih selesa dan berkualiti.
“Selain itu, perbelanjaan dalam ekonomi negara akan bertambah sekali gus meningkatkan kecairan dalam pasaran serta membantu para peniaga di dalam negara. Dengan gaji yang rendah, perbelanjaan akan sedikit sekali gus menyebabkan aktiviti jual beli semakin suram.
“Malah langkah ini memberikan ruang yang lebih baik untuk para pekerja menguruskan perbelanjaan dan keperluan harian mereka,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Namun Ahmad Zahid berkata, beliau sedar perkara itu sedikit sebanyak memberikan kesukaran kepada majikan namun tidak boleh menunggu sehingga untuk bersetuju dan berasa selesa atau bersedia untuk melakukannya dan mestilah ada sesuatu untuk dimulakan.
“Jika kita terus menunggu dan menunggu, tidak akan ada masa yang sesuai dan selesa untuk majikan menaikkan gaji minimum,” katanya,
Pada masa sama, Ahmad Zahid yakin semua majikan mempunyai bukan sahaja tanggungjawab sosial, tetapi aspek moral kepada para pekerja dan masyarakat secara amnya.
“Bantulah negara ini dengan membantu mereka yang paling hampir dengan kalian para pekerja di bawah. Inilah masanya untuk kita menggandakan usaha membudayakan ekonomi humanistik yang lebih manusiawi dan meninggalkan perkara yang berbentuk eksploitasi. Sekali gus mengukuhkan amalan ekonomi yang beretika dan berteraskan rakyat.
“Saya harap pihak MEF dan semua majikan secara amnya akan memperhalus isu ini dan menzahirkan simpati yang lebih mendalam kepada para pekerja di luar sana. Layan dan hargailah titik puluh mereka dengan cara yang lebih adil dan bermaruah,” katanya. – UTUSAN










