belajar terima kekalahan

‘Muda perlu belajar terima risiko kalah’

Parti Muda perlu belajar menerima risiko dan membina kekuatan bagi kerusi yang ditawarkan kepada mereka dalam Pilihan Raya Negeri Johor, 12 Mac ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) perlu belajar menerima risiko dan membina kekuatan bagi kerusi yang ditawarkan mana-mana parti termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menafikan terdapat unsur sabotaj kerana PKR didakwa memberi kerusi yang sukar menang pada parti itu, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, ia sebagai usaha untuk parti itu belajar mendepani risiko sebelum berjaya membina kubu di sesebuah kawasan yang ditandingi.

“PKR pada 1999 bertanding di kerusi yang parti lain tidak mahu. Dari situ sampailah Lembah Pantai, 2004 tidak berjaya, 2008 baru berjaya. Ini bermakna, satu kerusi kalau tidak menang, tidak bermakna tidak boleh menang sampai bila-bila. Ia bergantung kepada strategi yang digunakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jangan hanya melihat kerusi yang ditawarkan itu tidak boleh menang, tetapi kita perlu fikir masa depan, dua tiga Pilihan Raya Umum (PRU) dari sekarang, di situlah kita perlu tuai hasil kerja tangan sebelum mencapai kemenangan.

“Saya ingin menasihatkan kepada kawan-kawan dalam parti Muda, mereka mesti bersedia untuk menghadapi segala risiko termasuklah kerusi kalah supaya apa yang diusahakan itu nanti akan membuahkan hasil,” katanya, semalam.

Tambah beliau, apa yang ditawarkan PKR itu disifatkan sebagai ‘cukup baik’ sebagai langkah pertama dalam membuka ruang kerjasama berhadapan pilihan raya akan datang.

“Saya akan cuba berhubung dengan pimpinan Muda supaya satu persefahaman dalam PRN Johor dapat dibuat secara bersama.

“Saya jangkakan rundingan kerusi antara PKR dengan Muda akan diselesaikan dalam tempoh kurang 72 jam,” jelasnya.

Terdahulu, PKR Johor menawarkan tiga kerusi kepada Muda untuk ditandingi pada PRN Johor 12 Mac ini.

Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, susulan itu pihaknya kini menanti maklum balas Muda berhubung tawaran tiga kerusi berkenaan.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerjasama Muda dengan PH belum menjamin kemenangan pada PH, namun sedikit sebanyak ia membantu gerak kerja parti itu khususnya menarik minat pengundi 18 yang terlibat dalam PRN kali ini.

“Saya mengambil contoh di Muar, menang sekali tidak bermakna selepas ini parti yang sama akan menang. Kemenangan di Muar sebelum ini pun disebabkan ada satu sentimen yang berlaku pada PRU14.

“Dan kalau parti Muda, jangan anggap parti ini tidak matang. Tetapi, nak matang pun ia memerlukan proses yang panjang dan mungkin mengambil masa yang lama, mungkin satu, dua pilihan raya,” ujarnya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini