Mercedez ditunggu tak muncul, simpanan RM39,000 lesap - Utusan Malaysia

Mercedez ditunggu tak muncul, simpanan RM39,000 lesap

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Hasrat membeli kereta mewah berjenama Mercedez A45 tidak kesampaian, bahkan seorang jurulatih jualan sebuah syarikat penapis air kerugian RM39,000 akibat ditipu ketika membuat pembelian kenderaan tersebut secara dalam talian.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa berusia 43 tahun itu terpedaya selepas melihat iklan penjualan kereta lelong melalui aplikasi Telegram ketika berada di rumahnya di Indera Mahkota di sini, Isnin lalu.

“Mangsa menghubungi nombor tertera di iklan itu dan berhubung dengan penjual dikenali ‘En Fauzi’ yang mendakwa dirinya anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bertugas di Putrajaya dan menyatakan hasratnya membeli kereta Mercedez yang dijual suspek.

“Pada esok harinya, suspek menghantar kereta jenis Toyota Wish bagi kegunaan sementara mangsa, sebelum kereta Mercedez dibeli dihantar ke rumahnya.

“Suspek kemudian meminta supaya menyegerakan pembayaran dan mangsa seterusnya membuat pemindahan wang sebanyak RM39,000 melalui tiga transkrip secara dalam talian ke dalam nombor akaun yang diberikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, selepas pembayaran dibuat, mangsa memaklumkan kereta Mercedez yang dibeli akan diserahkan dalam masa dua hari lagi namun keadaan turut mengejutkan apabila mendapati kenderaan Toyota Wish yang diparkir dihadapan rumahnya, telah hilang.

“Mangsa beberapa kali cuba menghubungi suspek tetapi gagal dan mengesyaki kenderaan itu telah diambil oleh suspek.

“Merasakan dirinya ditipu, mangsa segera membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam selepas kenderaan yang dibeli itu gagal diserah seperti yang dijanjikan,” katanya.

Menurutnya, dalam kes tersebut, modus operandi digunakan suspek adalah dengan memperdaya mangsa dalam urusan pembelian kereta secara online.

“Suspek juga dilihat telah memberikan sebuah kenderaan lain untuk digunakan bagi tujuan meyakinkan mangsa yang telah terpedaya itu. Tindakan itu, sebenarnya mendorong mangsa untuk terus membuat pembayaran, setelah pembayaran dibuat kenderaan tersebut akan diambil semula dan kereta yang dibeli pula tidak diterima.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.