Melaka Titans tempah slot ke separuh akhir - Utusan Malaysia

Melaka Titans tempah slot ke separuh akhir

AKSI Melaka Titans (kiri) ketika menentang SSC Hunter dalam saingan Divisyen 1, STL 2021/2022 di Stadium Titiwangsa,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Melaka Titans muncul pasukan pertama menempah slot ke separuh akhir setelah mengetepikan pencabar terdekat PDRM Defenders dalam perlawanan yang berlangsung sengit sebelum menang 2-1 dalam aksi Divisyen 1 pada kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22 di Stadium Titiwangsa dekat sini, semalam.

Ibarat pertembungan antara buku dan ruas, Melaka yang dibimbing Riduan Ramli membuka langkah kanan dalam set pertama apabila menang 21-16 ke atas PDRM.

Namun, pertemuan antara dua pendahulu Kumpulan A itu tidak terhenti setakat set kedua apabila PDRM bangkit untuk mengheret Melaka ke saingan penentuan setelah menang 21-13.

Permainan yang bersambung dalam set ketiga, berlangsung sengit apabila kedua-dua pasukan saling mengejar mata sehingga pada satu ketika terikat dengan kedudukan 12-12, 16-16 dan kemudian 18-18.

Menyedari kedudukan yang terancam, Melaka memperkemaskan benteng pertahanan sebelum mengorak langkah untuk menutup aksi dengan kemenangan 21-18.

Selain mara ke separuh akhir, Melaka kini mengungguli kedudukan teratas Kumpulan A memintas PDRM setelah mengumpul enam mata daripada tiga kemenangan.

Ketua jurulatih Melaka, Riduan ketika ditemui Utusan Malaysia selepas perlawanan berkata, kemenangan tersebut sememangnya telah mengesahkan slot skuad bimbingannya ke separuh akhir, tetapi kedudukan selaku juara kumpulan masih belum terjamin.

“Kami masih ada berbaki satu perlawanan menentang KPT-Masum Knights. Kami perlu menang pada perlawanan itu untuk muncul juara Kumpulan A,” katanya.

Jelas Riduan, selain berhajat untuk layak ke Piala Juara-Juara, sasaran utamanya adalah untuk menjuarai pertandingan Divisyen 1 itu setelah menamatkan saingan di kedudukan keempat musim lalu.

Mengulas mengenai pertemuan menentang PDRM, beliau memberitahu, anak-anak buahnya ditentang hebat oleh skuad bimbingan Rul Amri Hashim itu, namun, mujurlah mereka berjaya bangkit dan tidak mudah berputus asa sebelum menang dalam set penentuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya