PASIR PUTEH: “Mek rindu nak makan beramai-ramai bersama kawan-kawan Melayu.”
Demikian luahan Lo Nyut Chan, 72, dari Pekan Cherang Ruku, di sini tatkala ditanya tentang sambutan Tahun Baharu Cina kali ini, yang masih berlangsung dalam suasana negara dilanda pandemik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nyut Chan yang mesra dipanggil Mek Ateng berkata, sebelum pandemik Covid-19, sudah menjadi tradisi penduduk di situ menghadiri majlis jamuan makan malam perdana di dewan terbuka.
“Lazimnya pada malam pertama Tahun Baru Cina, satu jamuan terbuka diadakan di pekan ini. Penduduk Melayu menyediakan makan malam untuk meraikan lebih kurang 50 keluarga Tionghoa yang tinggal di sini.
“Ketika itu semua orang tanpa mengira latar belakang dan fahaman agama berkumpul dan menjamu selera sambil beramah mesra di dewan. Sekarang semua tinggal kenangan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Terdahulu, Nyut Chan menerima kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim yang menjelajah dari rumah ke rumah untuk menyampaikan hamper, buah limau dan angpau kepada penduduk Tionghoa di sekitar pekan Cherang Ruku.
Wan Hassan berkata, tradisi jamuan makan malam bersama masyarakat Tionghoa sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Pekan Cherang Ruku terhenti sejak Covid-19 melanda negara Mac 2020.
“Ekoran kes Covid-19 masih serius di Kelantan, rancangan kami untuk mengadakan semula majlis makan malam tahun ini terpaksa dibatalkan. Bagaimanapun kita teruskan tradisi mengagihkan angpau dan buah limau sebagaimana tahun-tahun terdahulu,” katanya. – UTUSAN ONLINE