MBPP pelawa pakar IEM kenal pasti punca takungan air di Jalan Bukit Kukus - Utusan Malaysia

MBPP pelawa pakar IEM kenal pasti punca takungan air di Jalan Bukit Kukus

Ar Yew Tung Seang (dua dari kiri) mengadakan lawatan tapak ke kawasan yang berlakunya insiden takungan air di Jalan Bukit Kukus menghala ke Jalan Tun Sardon, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mempelawa pakar-pakar daripada Institut Jurutera-jurutera Malaysia (IEM) cawangan Pulau Pinang bekerjasama memastikan punca utama insiden takungan air di bahagian penghujung jejantas Jalan Bukit Kukus menghala ke Jalan Tun Sardon, Sabtu lalu. 

Menurut kenyataan MBPP, pihaknya kesal atas kejadian tersebut kerana insiden sedemikian tidak sepatutnya berlaku. 

“MBPP telah mempelawa pakar-pakar IEM untuk bekerjasama dengan jurutera perunding MBPP bagi memastikan punca utama kejadian tersebut serta memberi khidmat nasihat terutamanya dari aspek teknikal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) yang dikenali sebagai jalan berkembar tertinggi di Malaysia ditakungi air selepas hujan lebat petang Sabtu lalu. 

Video berdurasi 10 saat mengenai kejadian itu tular di dalam laman sosial dan mendapat kecaman ramai malah ada yang melahirkan kekecewaan apabila projek itu tidak mempunyai sistem saliran yang baik. 

Kenyataan itu berkata, MBPP dengan kadar segera telah mengarahkan jurutera perunding projek MBPP dan kontraktor untuk turun padang bagi menyelesaikan masalah tersebut. 

“Siasatan awal telah menunjukkan takungan air tersebut berlaku disebabkan sampah-sarap yang banyak serta daun-daun kering yang telah menghalang laluan air mengalir ke sistem perparitan sedia ada. 

“Kerja-kerja pembersihan telah dilaksanakan dengan serta-merta dan MBPP amat memandang serius insiden ini,” katanya. 

Tambahnya, MBPP telah meminta jurutera mengendalikan projek MBPP untuk mengemukakan penjelasan secara terperinci mengenai kejadian tersebut. 

Selain itu katanya, MBPP juga akan mengadakan rondaan berkala serta membuat pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di Intelligent Center (IOC) MBPP. 

“Tindakan yang tegas akan diambil ke atas orang awam yang berhenti di bahu jalan dan mereka yang membuang sampah di merata-rata sepanjang Jalan Berkembar Bukit Kukus. 

“MBPP berharap orang awam dapat bersama-sama mengambil tanggungjawab menjaga kebersihan dan keselamatan di kawasan tersebut,” katanya. -UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN