Impian untuk bergelar ibu bapa tidak selalu hadir dengan mudah.
Di sebalik senyuman pasangan yang menimang cahaya mata, ada kisah penantian panjang, rawatan berulang kali dan ketabahan luar biasa.
Rawatan IVF Nur Alyani Badrol Hisham, 36, bermula tiga tahun selepas berkahwin dengan Hazizan Mohamed.
Masalahnya bermula apabila tidak datang haid selama tiga bulan dan terus berjumpa pakar sakit puan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
Dia kemudian dirujuk ke Pusat Reproduktif Termaju (ARC) dan di peringkat awal, prosedur yang dijalani ialah memasukkan sperma ke dalam rahim (IUI) untuk satu kitaran tetapi tidak berjaya.
“Selepas berbincang dengan doktor, saya diminta menjalani persenyawaan dalam rahim (IVF) pula dan menerusi pengutipan ovum (OPU), saya dapat 15 embrio yang kemudian dibekukan.
“Kali keempat pindahan ke rahim, barulah saya hamil pada 2022, malangnya, keguguran ketika kandungan berusia 22 minggu.
“Bayi dilahirkan dengan berat 475 gram pada 7 Oktober 2022, tetapi tidak dapat diselamatkan dan hanya bertahan selama satu jam,” katanya dalam Forum
Penantian Demi Kebahagiaan: Menghayati Liku Perjalanan IVF baru-baru ini.
Rawatan sama diteruskan pada November 2023, namun sekali lagi menemui kegagalan.
Enggan berputus asa, pasangan itu mencuba satu lagu kitaran pada Februari 2024 dan akhirnya berjaya hamil.
“Bagaimanapun, saya perlu duduk di dalam wad bermula dari usia kandungan lima bulan sehingga bayi perempuan kami, Ivy Jasmine selamat dilahirkan pada 8 Oktober tahun sama,” katanya.
10 tahun menanti zuriat
Tempoh 10 tahun menantikan cahaya mata adalah satu perjalanan yang menuntut kesabaran tinggi bagi Dr. Wan Farhana Azwanee Wan Omar dan suami, Dr. Arfa Zhafran Arshad.
Selepas enam tahun mencuba prosedur IVF untuk hamil, wanita ini hampir berputus asa.
“Bila IVF terakhir gagal, saya sudah terfikir mahu ambil anak angkat sahaja.
“Tetapi suami yang kuat sebenarnya dan mahu berusaha mendapatkan anak sendiri,” katanya.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada tahun 2015 dan ketika itu masing-masing sibuk dengan kerjaya sebagai doktor.
“Selepas dua tahun berkahwin, kami mula terfikir kenapa masih belum dapat anak dan mula memberikan tumpuan untuk mendapatkan cahaya mata.
“Kebetulan kami sudah berpindah dari Ipoh ke Kuala Lumpur dan tinggal berasingan secara jarak jauh selama setahun.
“Kami mendapat tahu ada kemudahan rawatan kesuburan di HCTM dan mula menjalani prosedur IVF.
“Kami bersyukur kerana akhirnya anak kami, Hadeed Wildan dilahirkan pada Oktober 2021. Lebih menggembirakan, kami juga menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-10 Oktober lalu dan hari lahir suami saya,” katanya.

Masalah kesuburan lelaki
Ketua ARC,HCTM, Prof. Madya Dr. Abdul Kadir Abdul Karim berkata, sedekad lalu, wanita yang sering mendapatkan rawatan kesuburan berbanding lelaki.
Namun, trend itu berubah kini kerana lelaki juga sudah berani tampil dan bersikap terbuka.
“Zaman dahulu mungkin wanita sering dipersalahkan apabila gagal hamil tetapi hakikatnya masalah ketidaksuburan juga boleh disumbangkan oleh lelaki dan wanita.
“Berdasarkan analisa, kira-kira 75 hingga 80 peratus faktor ketidaksuburan disumbangkan oleh lelaki.
“Apabila pasangan datang ke ARC, kita akan menganalisa faktor-faktor ini untuk menjalankan rawatan yang sesuai. Sesetengah kes mungkin boleh terus menjalani IVF atau IUI dan permanian berhadas, “ katanya.
Katanya, analisis pertama yang dijalankan adalah analisis sperma berdasarkan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu sekurang-kurangnya 15 juta sperma per mililiter (ml) air mani dengan isipadu air mani 1.5 ml atau lebih.
Selain itu, pergerakan serta bentuk sperma yang mencukupi juga adalah penanda kesuburan lelaki.
Kiraan sperma yang lebih rendah boleh menjejaskan kesuburan.
Sekiranya tidak mencapai piawaian, ia akan dikategorikan sebagai faktor lelaki.
“Sekiranya bilangan sperma kurang sedikit, masalah ini mungkin boleh diatasi dengan mengambil makanan tambahan atau suplemen, berhenti merokok atau mengelakkan memakai pakaian ketat.
“Selepas itu, kita akan melihat semula jika terdapat peningkatan atau tidak.
“Sekiranya, tiada peningkatan atau mereka tidak mahu makan supplemen, kita teruskan dengan rawatan.
“Rawatan bergantung kepada keadaan pesakit, desetengahnya boleh meneruskan dengan IVF atau IUI.
“Ada sesetengah kes, lelaki memerlukan rawatan jika tidak boleh mengeluarkan sperma secara semulajadi,” katanya.
Gaya hidup undang masalah
Pakar dan pensyarah sakit puan & reproduktif ARC, Prof. Madya Dr. Muhammad Azrai Abu berkata, masalah kesuburan wanita masih dikaitkan dengan gaya hidup kurang sihat.
Antaranya ialah tidak bersenaman dan menjaga pemakanan sekali gus menyebabkan tubuh semakin membesar.
Apabila berat badan berlebihan, hormon tidak stabil dan haid tidak datang.
“Ketiadaan haid memberi petanda tidak berlaku ovulasi, ini yang merisaukan kerana dalam tempoh panjang, seseorang berisiko mengalami kanser rahim.
“Kebanyakan wanita juga tidak sedar sehingga mereka mengalami isu seperti Sindrom Ovari Polisistik (PCOS), haid banyak dan rahim yang tidak boleh diselamatkan.
“Tahap kesedaran masih rendah justeru setiap orang kena pastikan haid datang normal dan berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan sama ada ia hanya masalah hormon atau lebih daripada itu,” katanya.
Halangan lain adalah melekatkan embrio ke dalam rahim yang perlu dilakukan beberapa kali.
Pengarah HCTM, Datuk Dr. Azmi Baharudin berkata, ARC menyediakan latihan kepada pakar perubatan, doktor pascasiswazah, pakar embriologi, ahli andrologi dan jururawat daripada sektor kerajaan, swasta dan luar negara.
“Dengan peningkatan kes IVF mencecah 400 hingga 500 prosedur setahun, ARC terus membuktikan komitmennya dalam membantu masyarakat yang memerlukan.
“HCTM sentiasa optimis untuk memastikan perkhidmatan perubatannya kekal berdaya saing seiring kemajuan teknologi, kepesatan penyelidikan serta kecemerlangan pengajaran.
“Usaha ini diperkukuh melalui penubuhan Pusat Kecemerlangan Perkhidmatan iaitu Pusat Kanser, Pusat Terapi Sel, Pusat Informatik Kesihatan, Pusat Reproduktif Termaju, Pusat Jantung dan Paru-paru, Pusat Perkhidmatan Endoskopi dan Pusat Kemahiran Pembedahan Termaju,” katanya.










