Media harus menjadi suara Palestin

Media harus menjadi suara Palestin

ANTARA peserta yang hadir pada forum Break the Silence, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH 200 peserta daripada pelbagai latar belakang menyertai forum Break the Silence anjuran Program Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), yang membincangkan isu Palestin serta peranan media dalam memperjuangkan agenda kemanusiaan global.

Forum yang diadakan sempena INSPIRE 2025: New Media Day itu menghimpunkan pelajar daripada pelbagai fakulti USIM, orang awam, warga staf universiti serta pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), termasuk 30 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka. 

Perbincangan forum memfokuskan kepada situasi semasa di Palestin, cabaran misi kemanusiaan antarabangsa serta peranan media dan platform digital dalam memastikan isu Palestin terus mendapat perhatian masyarakat global. 

Antara yang dibincangkan termasuk inisiatif Global Sumud Flotilla dan Freedom Flotilla Coalition sebagai usaha menyampaikan bantuan kemanusiaan dan menentang penindasan terhadap rakyat Palestin. 

Forum tersebut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby; Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarulzaman Shaharul Anwar dan wartawan yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition, Syafik Shukri Abdul Jalil. Sesi forum ini pula dimoderatorkan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Kasmani. 

Dalam ucapan Syafik Shukri menekankan peranan generasi muda dalam memanfaatkan teknologi dan media sosial bagi menyuarakan isu kemanusiaan. 

“Anak muda hari ini sangat kehadapan dengan teknologi. Jadi, gunakan platform digital sebaik mungkin untuk menyuarakan pandangan dan menyebarkan kesedaran tentang isu kemanusiaan, khususnya isu Palestin, di semua platform media sosial,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Program, Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd. Zaini berkata penganjuran forum tersebut bertujuan membuka ruang perbincangan yang berfakta dan bertanggungjawab mengenai isu Palestin, khususnya dalam kalangan generasi muda. 

“Isu Palestin tidak seharusnya dibisukan. Forum seperti ini penting untuk memastikan masyarakat mendapat maklumat yang tepat, beretika dan berperikemanusiaan, di samping memahami peranan media dalam membentuk naratif yang adil,” katanya. 

Forum ini turut menekankan tanggungjawab pengamal media dan pencipta kandungan digital dalam melaporkan isu kemanusiaan secara beretika, telus dan berimbang, selari dengan perkembangan landskap media baharu. 

Penganjur berharap penganjuran program seumpama ini dapat meningkatkan kesedaran awam serta menggalakkan penyertaan aktif masyarakat dalam menyuarakan isu kemanusiaan di peringkat nasional dan antarabangsa. -UTUSAN

 

MUHAMMAD AKMAL ZUHDI CHE MOHD. ZAINI 

Pengarah Break the Silence

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×