KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Mara Corporation Sdn. Bhd. (Mara Corp.) memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penyelewengan.
Pengerusi Mara, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun berkata, kerjasama itu diberikan ketika mereka menerima kunjungan sepasukan pegawai SPRM dari Putrajaya bagi memulakan siasatan ke atas pegawai Mara yang dikaitkan dengan dakwaan isu integriti.
“Pengurusan Mara dan Mara Corp. sedia memberikan kerjasama dan menyerahkan sepenuhnya kes ini untuk siasatan pihak SPRM.
“Mara sentiasa komited dalam memastikan integriti organisasi ini terpelihara dan tidak sesekali berkompromi dengan sebarang salah guna kuasa dan penyelewengan yang melibatkan kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan.
SPRM mula menjalankan siasatan terhadap Mara setelah menerima aduan berhubung dakwaan wujudnya isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi tersebut.
“Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang berkaitan dengan kesalahan mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk mendapatkan suapan,” katanya.
Siasatan itu bermula apabila sepucuk surat berhubung permohonan untuk melakukan siasatan terhadap lima pegawai tinggi Mara tular dalam laman sosial Twitter.
Pendedahan itu dilakukan oleh pemilik akaun @ES_EdisiKhas yang melampirkan enam helai surat tersebut berhubung integriti pegawai-pegawai Mara.
Surat yang bertarikh 30 Januari itu dihantar oleh Pengerusi Eksekutif Mara Corporation, Datuk Suhaili Abdul Rahman kepada Azizah. – UTUSAN ONLINE