PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan lawatan rasmi sulung ke Kemboja dan Thailand bermula hari ini hingga 26 Februari ini.
Lawatan empat hari itu untuk memenuhi jemputan Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen dan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha.
Menurut kenyataan Wisma Putra, semasa lawatan rasmi ke Kemboja, Perdana Menteri dijadual menghadap Raja Kemboja, Raja Norodom Sihamoni di samping pertemuan dengan Hun Sen untuk membincangkan pengukuhan hubungan dua hala.
“Ini termasuk kerjasama pasca pandemik Covid-19, kerjasama ASEAN serta isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
“Perdana Menteri juga mengadakan pertemuan dengan Presiden Senat dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja selain turut bertemu dengan Keluarga Malaysia di Kemboja,” katanya.
Semasa lawatan rasmi ke Thailand pula, Ismail Sabri mengadakan pertemuan dengan Prayut Chan-o-cha yang memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin membincangkan hala tuju kerjasama pelbagai bidang antara dua negara.
Katanya, bidang-bidang utama meliputi kerjasama ekonomi, pasca pandemik Covid-19, pembukaan sempadan antara kedua-dua negara, dan projek-projek kesalinghubungan di kawasan sempadan darat.
“Perdana Menteri turut menghadiri sesi dengan Dewan Perniagaan Malaysia – Thailand (MTCC) dan sesi ramah mesra bersama Keluarga Malaysia di Bangkok,” katanya.
Jelas Wisma Putra, lawatan Perdana Menteri ke Kemboja dan Thailand mencerminkan hubungan rapat dan menyeluruh Malaysia dengan kedua-dua negara jiran and rakan ASEAN tersebut.
Katanya, ia dapat membuka peluang kepada Malaysia dan kedua-dua negara berkenaan untuk meneroka inisiatif bersama dalam usaha pemulihan pasca-pandemik serta dalam menangani cabaran serantau dan antarabangsa.
Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Menteri Wilayh Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd. Salim Mohd. Sharif serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Lawatan ini berlangsung mengikut pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi pencegahan Covid-19 yang berkuat kuasa di Malaysia, Kemboja dan Thailand. – UTUSAN