Luncur ombak rancakkan sektor pelancongan Cherating

Luncur ombak rancakkan sektor pelancongan Cherating

AKSI seorang peserta yang menyertai Cherating Surf Festival 2022 di Pantai Cherating di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Agensi pelancongan disaran menghasilkan lebih banyak pakej-pakej aktiviti sukan luncur ombak di destinasi-destinasi pelancongan, khususnya di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Tourism Pahang, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali berkata, melihat kepada potensi yang ada pada aktiviti sukan luncur ombak ini, ia bukan sahaja dapat membangunkan pakej-pakej pelancongan luncur ombak malah bagi acara sukan itu sendiri. 

“Melalui pendekatan ini dilihat sebagai satu inisiatif bijak dapat dilakukan mereka (agensi pelancongan) dalam menjana pertumbuhan ekonomi.

“Bukan sahaja memajukan ekonomi negara malah ekonomi masyarakat tempatan setelah dilanda dengan wabak Covid-19 hampir dua tahun,” katanya ketika berucap di majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah acara Cherating Surf Festival 2022 di Pantai Cherating di sini. 

DIDAQ Musadiq (kiri) bersama peluncur Mohd. Daud Mohd., Mohd. Nor Afiq Haikal, Mohd. Suhaimi Hassan di Pantai Cherating.

Turut hadir, Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim; Presiden Persatuan Luncur Ombak Malaysia (PLOM), Nur Hawani Norrizan dan Naib Pengerusi Cherating Surf Club, Muhammad Zaim Abdul Hayu. 

Cherating Surf Festival 2022 merupakan acara ketiga dalam kalendar pelancongan Pahang.

Seramai 140 peluncur ombak dari serata Malaysia seperti Pahang, Sabah, Johor, Terengganu, Kuala Lumpur dan Kedah beraksi di festival tersebut.

Dalam festival yang berlangsung bermula 4 Februari hingga 6 Februari lalu menyaksikan lapan kategori luncur ombak yang dipertandingkan.

Bagi kategori Shortboard dan Longboard lelaki dimenangi Didaq Musadiq manakala kategori sama bagi wanita, dimenangi Qadeja Musadiq, kategori Gromet dimenangi Anil Iskandar Nazri, Body Board dimenangi Syed El Hussein Syed Atikullah dan Best Trick, Mohd. Nazrin Nassaruddin serta Best Wipeout, Muhammad Faris Nazran Nazri.

Sementara itu, Sh Mohmed Puzi berkata, penganjuran pertandingan sukan luncur ombak dilihat dapat merancakkan kembali sektor pelancongan di negeri ini, khususnya di Cherating.

“Tourism Pahang telah meletakkan usaha untuk memajukan lagi sukan ini dengan menganjurkan festival dan acara pertandingan tempatan dan antarabangsa di sini. Ini telah membantu melonjakkan Cherating sebagai lokasi popular kepada peluncur dari jauh dan dekat.

“Selain itu, apa yang lebih membanggakan, seramai empat orang atlet sukan luncur ombak Malaysia adalah dari negeri Pahang dan mereka telah mewakili Malaysia di dalam kategori Surfing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya