Lelaki mengamuk ada masalah psikiatrik - Utusan Malaysia

Lelaki mengamuk ada masalah psikiatrik

TANGKAP layar memaparkan aksi seorang lelaki yang tiba-tiba mengamuk di persimpangan lampu isyarat, Jalan Lingkaran Tengah berdekatan Centre Point Seremban.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pihak polis berjaya mengesan seorang lelaki yang tiba-tiba mengamuk dan memaki hamun pengguna jalan raya di persimpangan lampu isyarat, Jalan Lingkaran Tengah, berdekatan Centre Point Seremban di sini seperti video yang tular di media sosial Facebook semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, lelaki berusia 38 tahun itu yang juga pemandu sebuah kenderaan jenis Perodua Alza hadir di Bahagian Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada pukul 8.30 pagi tadi untuk membantu siasatan.

“Bertindak atas maklumat yang diperoleh, pihak Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Seremban menghubungi pemilik kenderaan jenis Perodua Alza tersebut sebelum dia hadir hari ini untuk tujuan siasatan lanjut.

“Lelaki itu mengesahkan bahawa dia adalah individu yang terlibat dalam rakaman video yang tular dan hasil siasatan lanjut pemandu itu turut mengaku ketika kejadian pada 8 Februari lalu dia berada dalam keadaan tertekan serta gagal mengawal diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nanda, lelaki itu merupakan seorang pesakit yang mempunyai rekod rawatan mental di Wad Psikiatrik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban dan masih menjalani rawatan susulan.

Jelasnya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan ketika kejadian tersebut berlaku dan kes disiasat di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membuat halangan disebabkan kenderaan di atas jalan.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau kedua-duanya. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Tular video berdurasi satu minit 32 saat yang memaparkan tindakan seorang lelaki yang memandu Perodua Alza telah menghentikan kenderaannya di persimpangan lampu isyarat terbabit.

Lelaki itu dilihat keluar dari kenderaannya dan bertindak memaki hamun beberapa pengguna jalan raya di kawasan tersebut.

Dia kemudian menaiki semula kenderaannya sebelum meninggalkan kawasan terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN