PETALING JAYA: Persekutuan Renang Malaysia (MAS) kekal dengan pendekatan jangka panjang 10 tahun biarpun tiada seorang pun perenang negara berjaya melepasi saringan di Kejohanan Dunia Renang Remaja di Otopeni, Romania yang berakhir minggu lalu.
Skuad negara tampil dengan lapan atlet merangkumi 26 acara sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan program pembangunan semasa berbanding penanda aras dunia.
Timbalan Presiden MAS, Marilyn Chua menjelaskan skuad renang yang dihantar berada dalam fasa pembinaan dan hanya dijangka mencapai tahap kemuncak dalam tempoh lapan hingga 10 tahun akan datang.
“Kami tidak menjangkakan keputusan segera kerana pada asasnya kami sedang membina semula daripada bawah selepas mengambil alih dua tahun lalu.
“Kejohanan ini memberi gambaran jelas tentang kedudukan kita di peringkat dunia dan berapa banyak kerja yang masih perlu dilakukan,” kata Marilyn kepada Utusan Malaysia
Kenyataan tersebut realistik, namun menuntut Petunjuk Prestasi Utama (KPI) lebih konkrit seperti sasaran mara ke separuh akhir dalam tempoh dua tahun, kadar catatan rekod peribadi melebihi 70 peratus setiap kejohanan serta audit berkala terhadap program kekuatan dan ketahanan atlet.
Muhammad Dhuha Zulfikry muncul paling menyerlah dengan dua catatan terbaik musim dalam acara 800 meter (m) gaya bebas (8:14.69 saat) dan 1,500m (15:42.21s), namun jurang dengan rentak finalis dunia remaja masih ketara.
Justeru, Marilyn menegaskan bahawa meskipun keputusan di Romania hambar, pengalaman dan pendedahan yang diperoleh atlet muda negara tetap dianggap amat berharga.
“Ini merupakan kali pertama atlet remaja kita bersaing di pentas setinggi ini. Ia satu pengalaman yang tidak ternilai untuk mereka berlumba dengan perenang terbaik dunia,” jelasnya.
MAS turut merancang menghantar lebih ramai atlet muda ke kejohanan antarabangsa di luar Asia Tenggara selain menekankan acara berganti-ganti sebagai platform membina keyakinan dan semangat berpasukan.
Selepas 19 tahun daripada detik dua pingat perak diraih perenang legenda negara, Daniel Bego di Rio 2006, projek 10 tahun ini hanya akan relevan jika budaya akauntabiliti prestasi dilaksanakan segera dengan sasaran bertangga dan garis masa yang jelas, bukannya samar-samar. – UTUSAN










