KOTA KINABALU: Seorang lelaki dilaporkan hilang ketika keluar memancing dikhuatiri jatuh ke dalam laut di perairan Pulau Tiga dan Pulau Mengalum, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd. Rosli Abdullah berkata, kehilangan mangsa dilaporkan isterinya yang gagal menghubungi mangsa sejak Isnin.

Mangsa dikenali sebagai, Lauren Alipiin, 33, keluar dari rumah mereka di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya untuk memancing dan tidak pulang ke rumah hingga semalam.
Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) mengaktifkan operasi Carilamat bagi mengesan mangsa yang hilang ketika memancing.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengatur gerak satu aset masing-masing ke lokasi bagi menjalankan pencarian awal.-
Pasukan Carilamat menemukan satu tong ikan terapung di posisi lebih kurang 12 batu nautika utara Pulau Tiga dan disahkan milik mangsa oleh isterinya.
Operasi Carilamat mangsa diteruskan lagi bermula 7 pagi ini.
Maritim Malaysia menyarankan orang awam yang mempunyai petunjuk berkaitan kes ini untuk menyalurkan maklumat ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774.- UTUSAN ONLINE