PETALING JAYA: Tanggungjawab untuk melahirkan lebih ramai pemain tempatan berkualiti tidak boleh diletakkan di bahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semata-mata.
Sebaliknya, Persatuan Bola Sepak Negeri (FA) juga perlu memainkan peranan untuk mencungkil bakat di peringkat akar umbi demi kelangsungan bola sepak di Malaysia.
Pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim, berkata, projek revolusi Harimau Malaya perlu dicemburui oleh FA kerana mereka sepatutnya menjadi nadi pembekal pemain berkualiti.
“Di luar negara ada banyak pertandingan di pelbagai peringkat dan daripada situ akan ada lebih ramai bakat berpotensi. Sebaliknya berlaku di negara ini dimana tumpuan lebih menjurus kepada pertandingan utama seperti Liga Super saja namun sekarang mula ada pasukan tarik diri.
“Apabila bola sepak kini bertaraf profesional dan pasukan sudah berstatus kelab, apa pula fungsi FA negeri? FA tidak boleh lepas tangan.
“Saya cadangkan mereka buat liga ikut daerah atau apa-apa pertandingan seumpamanya kerana peminat masih ada kemahuan untuk menonton bola sepak.
“Mainlah di mana-mana stadium mini sekalipun, saya percaya stadium akan penuh kerana peminat masih sayang dan ada minat mendalam terhadap bola sepak.
“Lihat saja perlawanan persahabatan babitkan bekas pemain Kelantan, stadium dipenuhi ramai orang,” katanya.
Pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 sebelum ini, kualiti pemain warisan menjadi kunci utama kepada kejayaan Harimau Malaya benam Vietnam 4-0 dan hanya Arif Aiman Hanapi menjadi pemain Malaysia tulen tunggal yang menyerlah apabila mencipta dua bantuan jaringan.
Susulan kejayaan itu, pelbagai pihak menyuarakan pendapat masing-masing termasuk ada yang persoalkan mana pembangunan pemain tempatan untuk masa depan bola sepak Malaysia. – UTUSAN










