JEMPOL: Seorang lelaki disyaki pengedar dadah yang aktif di kawasan Felda Pasoh dan Batu Kikir di sini ditahan di tepi jalan besar Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3 petang hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Daerah (IPD) Jempol.
“Hasil tangkapan itu, polis turut merampas enam bungkusan plastik lutsinar pelbagai saiz berisi dadah disyaki jenis heroin seberat 220 gram dan dua peket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan jernih bahan disyaki dadah berbahaya jenis syabu seberat 134 gram.
“Rampasan dadah itu dipercayai untuk pasaran di kawasan Batu Kikir dan Felda Pasoh 2 serta 3,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chang Hook berkata, polis turut menyita dua buah motosikal serta wang tunai berjumlah RM500 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan. – UTUSAN