PETALING JAYA: Satu lagi laporan polis dibuat terhadap bekas penyelidik di Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Lalitha Kunaratnam kerana didakwa menipu mahkamah sekali gus melanggar undang-undang.
Difahamkan, laporan berkenaan dipercayai dibuat kira-kira pukul 3.43 petang tadi di Balai Polis Sentul.
Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, Lalitha didakwa memberi kenyataan tidak benar menerusi fail saman malu beliau terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengenai statusnya sebagai penyelidik C4.
Kata sumber itu, Lalitha menerusi saman berkenaan mendakwa dia telah menyandang jawatan perunding penyelidik kontrak dengan C4 semasa menulis laporan yang dikaitkan dengan Azam.
“Sedangkan kenyataan media C4 pada pertengahan Januari lalu menjelaskan Lalitha tidak lagi bekerja untuk agensi itu sejak Disember 2020.
“C4 juga menjelaskan mereka tidak mempunyai kaitan langsung dengan penulisan yang dimuat naik oleh Lalitha,” kata sumber itu.
Kata sumber, susulan daripada itu, laporan polis berkenaan dilakukan bagi siasatan lanjut dilakukan oleh pihak polis kerana jelas menunjukkan Lalitha telah menipu mahkamah.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan mengenai perkara ini. – UTUSAN ONLINE