Tambah pencahayaan, laluan khas hidupan liar elak kemalangan

Tambah pencahayaan, laluan khas hidupan liar elak kemalangan – Loke

AHMAD Zahid Hamidi bersama Anthony Loke selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) Bilangan 1 Tahun 2025 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kemudahan pencahayaan di kawasan laluan hidupan liar antara aspek keselamatan yang perlu dipertimbangkan bagi menangani kes kemalangan membabitkan hidupan liar terutama di jajaran lebuh raya dan jalan raya di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya mengakui bersedih dengan insiden lori merempuh anak gajah di Lebuh raya Timur-Barat dua hari lalu.

Loke berkata, antara aspek lain ialah menyediakan laluan khas untuk hidupan liar itu sebagaimana telah pun diambil dengan membina laluan khas hidupan liar di sepanjang laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Umpamanya laluan khas dan terowong yang kita bina khas di bawah rangkaian kereta api ini. Kemudahan sama akan ditambah di laluan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB).

“Kita memandang serius perkara ini kerana ia bukan sahaja melindungi hidupan liar sebaliknya nyawa manusia terutama di laluan kereta api,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) Bil. 1 2025 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di sini, hari ini

Mesyuarat berkenaan turut memutuskan satu mekanisme pendanaan akan diwujudkan bagi menampung dan menyokong kos pelaksanaan inisiatif serta program keselamatan jalan raya di negara ini.

Beliau berkata, jawatankuasa juga bersetuju supaya Kementerian Pengangkutan (MOT) dapat menyalurkan 50 peratus daripada kutipan saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) bagi menampung inisiatif itu.

“Antara inisiatif itu termasuk langkah-langkah pencahayaan ataupun memasang lampu-lampu jalan dan lampu-lampu solar
LED di kawasan-kawasan hotspot kemalangan.

“Kemudahan itu akan dilaksanakan segera di mana fasa pertama membabitkan jajaran Senawang – Ayer Keroh. Kita akan menambah kemudahan lampu jalan di kawasan itu.

“Pencahayaan di kawasan tersebut diharap dapat mengurangkan risiko kemalangan pada waktu malam terutama melibatkan lori dan bas yang meragut tujuh nyawa tahun lalu.

“Malah, kami juga bersedia bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan jabatan berkaitan bagi menambah baik aspek keselamatan termasuk pencahayaan di Lebuh Raya Timur Barat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN