Kisah Manap Jepun tersimpan di Muzium Kathmandu

Kisah Manap Jepun tersimpan di Muzium Kathmandu

KERATAN berita kematian Manap Jepun dalam akhbar The New York Times pada Mei 1952 dipamerkan di Muzium Kathmandu, Nepal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Siapa Manap Jepun? Generasi baharu yang tidak tahu sejarah tanah air pasti terpinga-pinga.

Sedangkan individu itu sangat dikenali dan ditakuti penjajah Inggeris malah askar upahan Gurka pada akhir 1940 dan 1950 kerana semangat anti-Inggerisnya.

Semangat nasionalis menebal Manap Jepun mendorong anak jati kelahiran Temerloh itu menjadi Ketua Platun Kelima Rejimen Ke-10 Parti Komunis Malaya (PKM) yang diketuai Abdullah CD.

Ini kerana kawalan Inggeris terhadap pertubuhan dan aktiviti anti-Inggeris dengan mengisytiharkan darurat 20 Jun 1948 mendorong orang muda seperti Manap Jepun memilih perjuangan bersenjata melawan penjajah British.

Kisah ‘perjuangan’ anti-Inggeris menjadi bukti nyata apabila keratan berita kematian Manap Jepun dan 12 lagi rakannya dalam akhbar The New York Times pada Mei 1952 dipamerkan di Muzium Kathmandu, Nepal.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Perunding Penyelidikan dan Pembangunan Budaya Melayu Antarabangsa, Profesor Datuk Dr. Aripin Said berkata, keratan berita itu diperoleh daripada seorang rakan rakyat Nepal di Kathmandu.

ARIPIN SAID

Bercerita tentang Komunis Melayu itu, beliau berkata, Manap Jepun diberi gelaran kerana ibunya Wan Esah seorang Jepun manakala ayah dikenali Sewang.

“Manap Jepun dikatakan seorang nasionalis bersama-sama beberapa rakan Melayu memilih PKM sebagai medium menentang Inggeris.

“Pihak PKM mengeksploit semangat perjuangan Manap Jepun untuk membebaskan negara daripada penjajahan Inggeris,” katanya di sini.

Aripin berkata, dalam tempoh beberapa bulan sahaja bermula bulan Oktober 1950, Manap Jepun melakukan beberapa sabotaj dan membunuh ramai orang termasuk pegawai kanan Inggeris.

Tambah beliau, Manap Jepun dan pasukan dipimpinnya sentiasa berada di hutan di Temerloh, Jerantut, Raub dan Kuantan.

“Berikutan dengan itu pihak Inggeris pada waktu itu mengisyiharkan Manap Jepun sebagai pengganas nombor satu yang perlu diperangi. Inggeris telah menawarkan ganjaran sebanyak $35,000 (RM75,000) kepada sesiapa yang dapat menembak mati Manap Jepun.

“Pihak Inggeris menggunakan askar upahan Gurkha beberapa kali bertempur secara berdepan tetapi gagal menangkap atau membunuh Manap Jepun.

“Manap Jepun dikatakan kebal tidak lut senjata dan peluru biasa, tetapi orangnya sendiri belot dan membuka buka rahsia kelemahannya, akhirnya seorang askar Gurkha dikenali Bharnabahadur Rai menembak Manap Jepun dengan memasukkan cincin emas dalam laras senapang bersama peluru.

“Manap Jepun bersama 12 pengikutnya terbunuh dalam pertempuran itu dalam hutan daerah Kuantan sekitar pada bulan Mei 1952,” ujarnya

Beliau dalam pada itu berkata, seorang rakyat Nepal dikenali Tadip Yan bekerja sebagai pengawal keselamatan di pasar raya di Kuala Lumpur begitu kagum dengan keberanian orang Melayu.

“Ceritanya, berdasarkan catatan dalam keratan yang dipamerkan di Muzium Kathmandu, orang Melayu berani mati dalam perjuangan.

“Tadip juga memaklumkan bahawa, orang Melayu juga sangat baik dan menghormati rakyat asing. Orang Melayu tidak menyokong keganasan,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya