JOHOR BAHRU: Kerjasama antara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan Pakatan Harapan (PH) tidak akan menindih fungsi dan peranan sayap pemuda parti-parti komponen gabungan berkenaan.
Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerjasama itu sebaliknya perlu dilihat dalam aspek lebih besar iaitu memberi nilai tambah kepada masyarakat, khususnya golongan muda di negara dan negeri ini.
“Tanggungjawab Muda adalah untuk membawa perubahan yang bermakna di Johor, jadi penting untuk kita kurangkan pertindihan kerusi dalam kalangan parti pembangkang.
“Ini lebih utama agar kita dapat fokus dan memberikan tumpuan kepada usaha menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” katanya selepas menghadiri program Listening Tour anjuran Muda di Taman Eco Cascadia, di sini.
Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, pihaknya percaya kewujudan Muda telah membawa perubahan positif kepada landskap politik tanah air khususnya dengan pelaksanaan Undi-18.
“Ekoran daripada perkara itu, bukan sahaja sayap pemuda parti-parti politik tempatan tetapi parti itu sendiri mula memberi tumpuan kepada keperluan dan kepentingan mengangkat suara generasi muda negara.
“Apapun kita akan cuba untuk menjalinkan kerjasama yang memberi situasi menang-menang khususnya kepada rakyat sendiri, sama ada betul kerjasama Muda dalam PH akan menindih fungsi sayap pemuda mereka, itu biar rakyat yang tentukan,” jelasnya.
Baru-baru ini timbul pertikaian khususnya oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang mempersoalkan kewajaran kerjasama antara Muda dengan PH dalam PRN Johor akan datang. – UTUSAN