Bukan menunggang isu – Ella - Utusan Malaysia

Bukan menunggang isu – Ella

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penyanyi legenda dan Ratu Rock negara, Ella, menegaskan bahawa penganjuran konsert Majlis Tertinggi Rockqueen yang bakal berlangsung Februari ini bukanlah bertujuan untuk ‘menunggang’ sebarang isu sensitif.

Sebaliknya, kata Ella, ia lahir daripada niat yang tulus berteraskan kemanusiaan, keamanan dunia dan kebajikan sesama insan.

Menurut Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 59,  pemilihan tema Peace, Love, Rindu untuk konsert yang bakal berlangsung pada 14 Februari 2026 itu bukan sekadar gimik pemasaran, tetapi mencerminkan nilai yang telah lama sebati dalam dirinya sebagai seorang anak seni dan juga sebagai manusia. 

Baginya, segala yang dilakukan harus berpaksikan kepada niat.

“Semua ini bergantung kepada niat. Selagi niat kita baik dan tidak bertentangan dengan halal dan haram, itu yang paling penting.

“Kita tak boleh lari daripada kecaman, lebih-lebih lagi dalam dunia netizen hari ini. Tapi kita tahu apa yang kita buat,” katanya.

Tema Peace, Love, Rindu diangkat sejajar dengan keprihatinan Ella terhadap isu-isu global seperti peperangan, penderaan kanak-kanak, pembulian dan nasib golongan yang terpinggir. 

Katanya, dia mengakui sukar untuk berasa tenang apabila saban hari disajikan dengan berita menyedihkan dari seluruh dunia, malah perasaan itu sering mempengaruhi emosi dan pemikirannya sebagai seorang insan.

“Bila kita tengok berita, kita rasa dunia ini semakin hilang rasa aman. Kanak-kanak dibuli, dizalimi, orang-orang terbiar tanpa pembelaan. Semua itu memberi kesan kepada saya,” ujarnya.

Menurut Ella, pihaknya bersama penganjur Hitman Solutions mahu menerapkan nilai kemanusiaan ini ke dalam konsert dan perbincangan juga telah berlangsung sejak tiga tahun lalu. 

Kata Ella, ia bukan keputusan bersifat sementara, tetapi satu aspirasi jangka panjang yang mahu dizahirkan melalui platform seni. 

Disebabkab itu, Ella bersama seluruh pasukan penganjur menolak sekeras-kerasnya dakwaan bahawa konsert ini bersifat eksploitasi isu sensitif demi kepentingan komersial.

Mengulas mengenai perkara itu, suami Ella, Kapten Azhar Ghazali, turut berkongsi bahawa isterinya itu konsisten menyuarakan isu kemanusiaan melalui saluran media sosialnya.

Malah, secara peribadi, kata Azhar,Ella turut terlibat secara langsung dalam beberapa misi kemanusiaan termasuk ke Lubnan dan Syria bersama pertubuhan kebajikan lain untuk membantu memberi sunbangan kepada pelarian perang. 

Selain itu, dia turut menyumbang kepada pembangunan sekolah seni, menyediakan alat muzik serta membimbing belia sebagai usaha membina generasi baharu dalam bidang seni.

“Kami tidak hebahkan semua perkara kebajikan yang dibuat. Kadang-kadang lebih baik dilakukan secara senyap bagi menjaga maruah penerima.

“Kerja-kerja kebajikan ini sebenarnya sudah lama berlaku, jauh sebelum konsert diumumkan.Dalam masa sama, Ella turut menghulurkan bantuan secara peribadi kepada ramai bekas penggiat seni, artis yang uzur serta individu yang berdepan kesempitan hidup. 

“Sumbangan  itu dilakukan secara konsisten setiap bulan tanpa pengetahuan penerima tentang siapa penyumbangnya,”kata Azhar. 

Tambah Ella, dia mengakui hidupnya kini lebih tenteram dan dipermudahkan urusan, selain merasakan segala yang dilakukan itu kembali kepada dirinya dalam bentuk ketenangan jiwa.

Majlis Tertinggi Rockqueen

Menyentuh mengenai penganjuran Majlis Tertinggi Rockqueen itu lagi, kata Ella, dia menyifatkan ia sebagai konsert solo terbesar dalam kerjayanya setakat ini dan dijangka mencipta sejarah tersendiri.

Justeru, dari segi persiapan fizikal,  Ella tidak mengambil ringan soal stamina dan ketahanan diri. 

Kongsi Ella, dia mengamalkan rutin senaman yang konsisten termasuk larian, yoga, pilates dan regangan setiap hari. 

“Setiap pagi, sekurang-kurangnya setengah jam digunakan untuk aktiviti fizikal, manakala regangan tambahan dibuat pada waktu malam bagi memastikan tubuh sentiasa dalam keadaan terbaik.

“Selain itu, pemakanan dan pengambilan suplemen juga saya ambil berdasarkan keperluan hasil pemeriksaan kesihatan secara berkala. 

“Saya tidak mengambil sebarang suplemen secara sembarangan sebaliknya berdasarkan keadaan kesihatan sebenar,”katanya. 

Selain itu, cerita Ella, secara peribadi, konsert ini adalah sesuatu yang sangat mengujakannya apatah lagi dengan usianya pada tahun hadapan yang mencecah 60 tahun. 

Dia menganggap peluang kembali berdiri di pentas besar sebagai satu penghargaan yang tidak ternilai, selain peluang untuk bertemu semula dengan peminat setia yang telah menyokong perjalanan seninya sejak sekian lama. 

Selain itu, konsert ini juga mengimbau kenangan era 1998 hingga 1999 ketika Ella pernah mencipta momen bersejarah di Stadium Nasional. 

Kenangan itu disifatkannya sebagai sesuatu yang sangat ‘memorable’ dan masih meninggalkan kesan emosi yang mendalam. 

Malah, rasa gemuruh untuk kembali ke pentas besar itu tidak pernah hilang, biarpun sudah puluhan tahun bergelar ikon rock negara.

“Ini bukan sekadar konsert. Ini adalah refleksi kepada siapa saya, apa yang saya percaya dan apa yang saya perjuangkan,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hitman Solutions, Rohit Rampal turut menegaskan bahawa sebagai sebuah organisasi korporat, mereka juga perlu menilai segala risiko dan impak jangka panjang sebelum membawa konsep berteraskan kemanusiaan ini. 

Justeru, pihaknya menolak sebarang cubaan menunggang isu sensitif bagi kepentingan perniagaan kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti semua pihak dalam jangka masa panjang.

“Kami kenal Ella dekat, kami tahu ini bukan lakonan. Ini memang diri dia yang sebenar. Kami juga mahu menyokong ekosistem seni yang berkarya dengan integriti dan memberi kembali kepada masyarakat,” jelasnya. 

Bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, tiket konsert juga dijual pada harga yang mampu milik buat penonton. 

Harga tiket bermula serendah RM39 (kategori RV) hingga RM499 (kategori VVIP). Kategori-kategori lain termasuk Bronze (RM69), Silver (RM99), Gold (RM149), Platinum (RM189), dan Diamond (RM249).

Tiket boleh didapati melalui laman sesawang www.hitmanlive.com

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN