KUANTAN: Seorang kerani mengalami kerugian RM109,200 akibat terpedaya dengan sindiket penjualan komputer tidak wujud di laman sosial Instagram.
Ketua Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, semasa berada di pejabatnya pada 19 Januari lalu, mangsa wanita berusia 32 tahun membuka akaun Instagram iaitu Digital World Laptop dan tertarik untuk membuat pembelian.
Menurutnya, mangsa berurusan dengan seorang lelaki untuk membeli tiga unit komputer riba jenama ASUS.
“Pada 20 Januari lalu, mangsa membuat pembayaram secara dalam talian ke lima akaun yang berbeza. Dalam tempoh dua hari, mangsa telah melakukan 15 transaksi kepada suspek dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM109,200.
“Jumlah keseluruhan meningkat ekoran suspek menyatakan ia termasuk kos penghantaran, kad gerenti, cukai kastam, mangsa berpeluang memasuki cabutan bertuah dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Wazir berkata, sehingga kini suspek masih meminta wang daripada mangsa untuk menyelesaikan proses pembelian.
“Kemudiannya mangsa yang sudah merasa ditipu oleh suspek datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk membuat laporan polis.
“Suspek memperdaya mangsa dengan penjualan komputer yang tidak wujud hingga menyebabkannya mengalami kerugian besar. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.- UTUSAN ONLINE