KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menolak dakwaan UMNO yang menyatakan Johor tidak stabil kerana mempunyai majoriti satu kerusi sahaja.
Mengambil contoh di Kelantan, Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Kelantan pada 2004 kekal stabil walaupun menang dengan majoriti dua kerusi.
“Kerajaan Pas Kelantan pada tahun 2004 menang dengan majoriti dua kerusi. Tetapi apabila seorang ADUN meninggal dunia, majoriti itu turun menjadi satu sahaja. Kerajaan itu kekal stabil sehingga PRU pada 2008.
“Maksudnya jika pandai mentadbir maka ia tiada masalah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menyifatkan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad sebagai gagal mengemudi kerajaan negeri, Wan Saiful berkata, kenyataan Hasni yang menyatakan kerajaan tidak stabil dengan satu majoriti adalah disebabkan beliau sendiri sebenarnya tidak mampu memimpin.
“Yang sebenarnya tidak stabil itu adalah poket-poket dan akaun-akaun bank pemimpin UMNO yang tidak dapat merompak dengan bebas kerana kewujudan EXCO dari PN yang menjadi semak imbang dalam pentadbiran. – UTUSAN