Sekolah memandu pertahan caj ditetapkan

Sekolah memandu pertahan caj ditetapkan

CALON menjalani kursus memandu di Gabungan Sekolah Memandu Hilir Perak di Teluk Intan, semalam. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Bayaran yang dikenakan sehingga RM2,000 kepada calon yang mahu mendapatkan lesen memandu masih dianggap wajar dengan kemudahan yang disediakan oleh pihak pengurusan pusat belajar memandu.

Pengusaha Gabungan Sekolah Memandu Hilir Perak di sini, Datuk Ramli Ahmad, 68, berkata, selain itu proses menduduki ujian memandu bagi mendapatkan lesen kenderaan juga tidak begitu rumit seperti yang disangka.

Menurutnya, bayaran tersebut setimpal kerana pihaknya menyediakan kemudahan pembelajaran secara digital untuk calon selain bilik belajar yang berhawa dingin dan makanan pagi serta tengah hari disediakan secara percuma.

“Sebenarnya banyak lagi kemudahan yang kami sediakan kepada calon yang menduduki ujian memandu di sini iaitu hanya dengan bayaran RM1,900 untuk lesen kereta.

“Proses keseluruhan mendapatkan lesen sebenarnya tidak rumit. Jika ada kelewatan pun mungkin disebabkan kerana kekurangan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semasa mengendalikan ujian terhadap calon.

“Namun secara keseluruhannya proses mendapatkan lesen di negara ini tidak membebankan dan calon tidak terlalu lama menunggu. Paling penting setiap calon yang menduduki ujian mengambil lesen memang benar-benar layak berada di atas jalan raya,” katanya.

Sementara itu, seorang calon di pusat memandu tersebut, Farah Abdul Radzi, 24, yang sudah seminggu menjalani kursus untuk lesen memandu berkata, bayaran keseluruhan yang perlu dibayar adalah RM1,550.

Menurutnya, bayaran tersebut selepas dia mendapat potongan harga berbanding bayaran asal sebanyak RM2,000.

“Berbaloi mengambil lesen di sini kerana pusat memandu ini lengkap dengan semua kemudahan seperti komputer, penggunaan kereta gear automatik, makanan percuma dan dapat diskaun harga,” katanya.

Calon lain, Intan Nazirah Abdullah, 20, berkata, jika mengikut kadar biasa, memang bayaran keseluruhan untuk mendapatkan lesen memandu boleh mencecah RM2,200 tetapi sekolah memandu tersebut memberi potongan harga kepada RM1,900.

“Dalam keadaan sekarang, bayaran lebih RM1,000 untuk mendapatkan lesen adalah munasabah dan prosesnya tidak begitu rumit asalkan kita boleh fokus setiap kali kursus memandu,” katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan proses mendapatkan lesen memandu yang dianggap rumit, panjang dan berbelit selain kos yuran mencecah ribuan ringgit dikenal pasti antara punca masih ramai individu di negara ini memandu tanpa lesen sah, meskipun ada yang berkemampuan.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, sistem sedia ada terlalu membebankan hingga mendorong orang ramai memilih jalan pintas, khususnya mereka yang sudah pandai memandu.

Beliau berkata, calon perlu hadir kelas, tunggu giliran ujian berminggu-minggu, kemudian bayar kos sehingga RM2,000 untuk lesen kereta dan keadaan itu menekan golongan berpendapatan rendah atau pelajar yang tidak mampu menanggung yuran terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN