Kemenangan BN di PRN Johor bergantung kepada jentera parti- PM

Kemenangan BN di PRN Johor bergantung kepada jentera parti- PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bergantung kepada kekuatan jentera parti.

Ismail Sabri yang juga merupakan Naib Presiden UMNO berkata, jentera BN sentiasa bersedia dan terus diperkemaskan untuk memastikan kemenangan demi kestabilan rakyat dan negeri Johor.

“Bertemu jentera BN Parlimen Muar di Dewan Tun Sulaiman, Bangunan UMNO Muar bagi PRN Johor. Kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri Johor adalah bergantung kepada kekuatan jentera parti. 

“Jentera kita sentiasa bersedia dan terus diperkemaskan untuk memastikan kemenangan demi kestabilan rakyat dan negeri Johor. Paling penting ialah kita tidak berpecah,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Dalam hantaran berkenaan, Ismail Sabri turut berpesan agar parti mengelak perang saudara dalam sesebuah perjuangan.

“Sentiasa bersatu hati kerana fokus kita adalah untuk mencapai satu matlamat iaitu kemenangan. 

“Saya membawa semangat Keluarga Malaysia pada pilihan raya ini dan ia bukanlah semangat baru, tetapi semangat BN yang hampir sama dengan konsep Keluarga Malaysia. 

“Ayuh kita bersama-sama dalam memastikan kemenangan BN demi rakyat dan semua bangsa yang kita cintai,” kata Perdana Menteri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh PRN Johor bagi mengisi kekosongan 56 kerusi DUN.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam, 11 Mac.

Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diguna pakai pada PRN Johor kini dalam peringkat akhir untuk dimuktamadkan oleh pihak bertanggungjawab.

Ketua Komunikasi Korporat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mohammad Azlan Charles Abdullah berkata, pihaknya akan mengumumkan SOP berkenaan sebelum hari penamaan calon. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN