Kawasan jumpa debu gunung berapi terbiar - Utusan Malaysia

Kawasan jumpa debu gunung berapi terbiar

ABDUL Halim Jusoh menunjukkan debu gunung berapi di Tapak Terpelihara Geowarisan Kedah di Kampung Padang Nyior, Padang Sanai, Padang Terap, Kedah. - UTUSAN/MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Tapak Terpelihara Geowarisan Kedah di kawasan penemuan debu gunung berapi berusia 74,000 tahun di Kampung Padang Nyior, Padang Sanai di sini berada dalam keadaan terbiar sejak 2018.

Kawasan penemuan debu gunung berapi dari Danau Toba, Sumatera itu digazetkan sebagai Tapak Terpelihara Geowarisan pada 2015 dan menjadi tumpuan pelancong tempatan serta asing.

Bagaimanapun, kawasan itu kini berubah wajah menjadi sepi dan jumlah pelancong yang berkunjung untuk melihat debu gunung berapi tersebut semakin berkurangan.

Seorang penduduk, Abdul Halim Jusoh, 73, berkata, sebelum ini kawasan seluas 1.2 hektar itu diselenggara oleh pihak bertanggungjawab namun kini semakin terbiar dan ditumbuhi rumput.

Katanya, dia secara sukarela membersihkan kawasan tersebut yang juga merupakan tanah miliknya sejak beberapa tahun lalu.

Malah, katanya, papan tanda kawasan ini lusuh dan pelancong yang datang sukar mencari lokasi tapak tersebut.

“Kawasan debu gunung berapi ini boleh dijadikan aset pelancongan di daerah ini, namun tidak diselenggara dengan baik.

“Saya berharap selepas ini pihak bertanggungjawab dapat membersih semula dan memperindahkan lagi kawasan yang cukup unik ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tapak Terpelihara Geowarisan Kedah debu gunung berapi dirasmikan pada 27 April 2015 oleh Exco Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan Kedah ketika itu, Datuk Badrol Hisham Hashim.

Letupan gunung berapi di Toba, Sumatera di Indonesia menyaksikan debu gunung berapi itu diterbangkan hingga ke barat laut.

Sementara itu, Ramli Osman, 56, memberitahu, debu gunung berapi itu mempunyai banyak khasiatnya terutama kepada haiwan dan tumbuhan.

Katanya, tumbuhan yang berada di kawasan itu sentiasa tumbuh subur dan berbuah sepanjang tahun.

“Pokok mempelam harumanis yang ditanam oleh penduduk di sini sentiasa berbuah sepanjang tahuun. Begitu juga pokok bunga sentiasa mengeluarkan bunga.

“Bagi ternakan seperti lembu pula suka datang ke kawasan itu dengan menjilat debu gunung berapi di kawasan itu,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Tourism Kedah, Azlan Fitri Abdul Razak ketika dihubungi berkata, pihaknya sentiasa mempromosikan kawasan bersejarah termasuk tapak geowarisan itu kepada pelancong.

“Pada masa sama, kerajaan negeri diharapkan dapat membantu menyediakan infrastruktur dan kemudahan lengkap di kawasan itu dalam usaha menarik lebih ramai pelancong,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya