JOHOR BAHRU: Pemandu yang merempuh atlet kayak negara, Siti Nurul Masyitah Md. Elias, 22, di Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) menuju ke Southkey, di sini Sabtu lalu bukan sahaja mabuk tetapi memiliki tujuh saman trafik tertunggak.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam kejadian pada pukul 4.30 petang ketika motosikal mangsa dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta Toyota Vios berwarna merah yang dipandu seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an.
“Kenderaan tersebut dikatakan telah menukar lorong dari laluan tengah ke kiri secara tiba-tiba menyebabkan kemalangan berlaku sehingga mangsa retak bahu kanan dan tulang pinggul, selain beberapa luka pada bahagian kaki.
“Pemandu yang disahkan mabuk selepas ujian pernafasan dibuat tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Katanya, pemandu telah ditahan selama 24 jam sebelum dibebaskan dengan jaminan. Kes disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak lebih 10 tahun berserta denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, beliau turut meminta saksi kejadian untuk membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat menerusi talian 014-6977122. – UTUSAN










