Kasihan Muhyiddin dibayangi ‘kluster mahkamah’ - Khaled Nordin

Kasihan Muhyiddin dibayangi ‘kluster mahkamah’ – Khaled Nordin

KHALED NORDIN  dan MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin memberikan kata-kata sinis selepas bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa satu-satunya cara untuk menghalang ‘kluster mahkamah’ daripada kembali berkuasa adalah dengan menewaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Khaled berkata, Muhyiddin terus terbelenggu dengan istilah ciptaan beliau iaitu ‘kluster mahkamah’ sedangkan seluruh negara sudah jauh bergerak, mencari kestabilan, memulih ekonomi dan mencipta masa depan.

“Saya kasihan benar dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini. Benar-benar beliau ketandusan kecerdasan. Siang dan malam, tidur tak lena, mandi tak basah kerana di bayangi dengan ‘kluster mahkamah’.

“Rupanya penglibatan Bersatu dalam PRN Johor hanya untuk menentang ‘kluster mahkamah’. Tiada rencana konkrit, lakaran masa depan dan cita-cita yang segar.

“Yang lagi pelik adalah, tiada seorang pun yang beliau gelar ‘kluster mahkamah’ itu bertanding di Johor atau ada kena mengena dengan pentadbiran Kerajaan Johor,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. 

Menurut Khaled, Ahli Parlimen Pagoh itu sepatutnya tidak mengheret rakyat Johor ke kancah ketidaksukaan beliau terhadap tokoh tertentu.

Katanya, ini berikutan perkara utama kepada rakyat Johor adalah mencari kerajaan yang stabil dan boleh memulihkan semula ekonomi.

“Bekas Perdana Menteri kelapan sedang berhadapan dengan krisis paling besar dalam perjalanan politik beliau.

“Setelah kehilangan sokongan sebagai Perdana Menteri, tewas di Melaka, gagal bertapak di Sarawak, kecundang dalam usaha memikat kerjasama dengan UMNO, beliau kini hanya ada Pas sebagai sandaran.

“Ini kerana dari sehari ke sehari, semakin ramai pimpinan dan ahli Bersatu keluar meninggalkan parti. Karma talkin beliau terhadap UMNO kembali menghantui Bersatu. Semuanya ciptaan beliau sendiri, bukan orang lain,” katanya. 

Semalam, media melaporkan, Muhyiddin mendakwa satu-satunya cara itu berikutan beliau menyifatkan ‘kluster mahkamah’ akan mendesak Perdana Menteri membubarkan Parlimen supaya pilihan raya umum pula dapat diadakan sekiranya BN menang PRN Johor. 

“Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah Perdana Menteri, tetapi yang menguasai UMNO adalah Presiden UMNO (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi). 

“Apabila Parlimen dibubarkan, yang berkuasa menentukan calon yang akan bertanding dan mengetuai parti dalam pilihan raya adalah Presiden, bukan Perdana Menteri,” katanya di Facebook, semalam.  – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN