Menteri Keselamatan Israel desak hentikan rundingan gencatan senjata Gaza - Utusan Malaysia

Menteri Keselamatan Israel desak hentikan rundingan gencatan senjata Gaza

BEN GVIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Menteri Keselamatan Israel dari sayap kanan, Itamar Ben Gvir pada Selasa menggesa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu supaya menarik balik delegasi Israel yang kini mengadakan rundingan dengan Hamas di Doha, Qatar, bagi mencapai gencatan senjata di Gaza.

“Saya menyeru Netanyahu supaya segera memanggil pulang delegasi yang dihantar untuk berunding dengan Hamas di Doha,” kata Ben Gvir dalam satu kenyataan di platform X, pada hari ketiga rundingan antara Israel dan pejuang Palestin itu.

Sebaliknya, Ben Gvir yang tinggal di penempatan haram Yahudi di Tebing Barat menuntut pendekatan lebih keras terhadap Gaza.

“Sekatan total, serangan ketenteraan tanpa kompromi, galakan pengusiran rakyat Palestin ke luar Gaza dan pembinaan penempatan (Israel) di wilayah tersebut adalah kunci kepada kemenangan mutlak,” katanya.

Beliau turut menentang sebarang perjanjian gencatan senjata yang didakwanya sebagai perjanjian tidak masuk akal yang hanya akan membebaskan ribuan tahanan Palestin dan memaksa tentera Israel berundur dari kawasan yang ‘ditawan dengan darah tentera’.

Sementara itu, seorang pegawai Palestin yang rapat dengan rundingan itu berkata, perbincangan masih diteruskan dengan memberi tumpuan kepada mekanisme pelaksanaan khususnya membabitkan isu pengunduran tentera dan bantuan kemanusiaan.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sebelum ini menyuarakan keyakinan bahawa satu perjanjian gencatan senjata boleh dicapai.

Namun, Netanyahu yang kini berada di Washington bagi lawatan ketiganya sejak Trump kembali ke tampuk kuasa tetap menolak penubuhan penuh sebuah negara Palestin dan menegaskan bahawa Israel akan sentiasa mengekalkan kawalan keselamatan ke atas Gaza.

Israel telah melancarkan perang terhadap Hamas sejak serangan besar-besaran kumpulan itu ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023.

Daripada 251 tebusan yang diculik dalam serangan itu, 49 masih ditahan di Gaza termasuk 27 yang disahkan terbunuh oleh tentera Israel.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 57,523 rakyat Gaza telah terbunuh dalam kempen ketenteraan balas Israel, berdasarkan data Kementerian Kesihatan Gaza, angka yang turut disahkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN