KUANTAN: Kadar penembusan jalur lebar di Pahang meningkat 92.56 peratus pada suku keempat tahun lalu satu pencapaian baik bagi memberi kemudahan komunikasi kepada pelayar internet di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff berkata, peningkatan kemudahan internet termasuk di perkampungan Orang Asli itu merangsang penggunaan media sosial, pendidikan dan urus niaga lebih efisien selari dengan kemajuan negara.
“Kadar liputan dijangka terus meningkat apabila 191 menara baharu mula dibina tahun ini. Ini usaha kerajaan Pusat melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Kerajaan Pahang bagi menambah baik perkhidmatan internet dan telekomunikasi di seluruh Pahang,” katanya kepada pemberita setelah mesyuarat penyelarasan projek Jalinan Digital Negara (Jendela) Pahang 2022 di Hotel Sri Manja di sini, semalam.
Mohammad Fakhruddin berkata, pembinaan 191 menara ini melengkapkan keseluruhan 270 menara baharu yang telah dirancang di bawah pelaksanaan fasa satu Jendela 2020-2022.
Tambah beliau, sepanjang 2020, 28 menara baharu telah siap manakala pada 2021, 51 lagi menara dibina.
Menurut beliau, Pahang juga sedang menaik taraf 902 stesen pemancar dengan melengkapkan 118,260 premis dengan rangkaian gentian optik dan menyediakan internet jalur lebar dengan teknologi satelit di 69 Kampung Orang Asli.
“Kerajaan Pahang dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Pahang (MMK), memberi komitmen dan sokongan padu terhadap pelaksanaan pelan Jendela sejak 2020. Terkini, Menteri Besar, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah bersetuju memberi keutamaan kepada tanah milik kerajaan negeri sebagai tapak untuk membina menara baharu,” katanya.
Menurutnya, keutamaan tanah milik kerajaan negeri adalah bagi melancarkan dan mempercepatkan proses perolehan tapak dan kelulusan dari pihak berkuasa tempatan (PBT). – UTUSAN