Kad kredit Mara taja makan malam - Utusan Malaysia

Kad kredit Mara taja makan malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif Mara Corp., Datuk Suhaili Abdul Rahman menafikan tuduhan beliau menggunakan kad kredit syarikat tersebut untuk kepentingan peribadi dan politik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Suhaili berkata, penggunaan kad kredit tersebut adalah bagi menjaga nama baik Mara Corp. di mana beliau ketika itu diminta menaja majlis makan malam pada bulan Ramadan khas untuk anak yatim dan pelajar tahfiz.

“Itu bulan Ramadan, yang saya nak belanja makan adalah kepada anak yatim dan pelajar tahfiz, di mana silapnya? Itu baik untuk Mara Corp. Ketika itu saya ada perbincangan dengan Perbadanan Labuan berkaitan tapak Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Labuan dan saya diminta untuk menaja.

“Tidak ada seorang pun ahli Bersatu di situ, yang ada hanyalah anak yatim dan tahfiz sahaja. Kalau saya nak menipu sekalipun, takkan saya nak pakai kad korporat,” soalnya ketika dihubungi semalam.

Semalam, tular gambar sekeping resit yang menunjukkan Suhaili menggunakan kad kredit Mara Corp. didakwa membayar lebih RM5,000 untuk makan malam pada Ramadan tahun lalu.

Makan malam itu diadakan di sebuah restoran di Labuan pada 17 April 2021 dengan tertera perkataan parti Bersatu di atas resit tersebut.

Mengulas lanjut, Suhaili turut berkata, apa yang dilakukan itu bukanlah satu jenayah dan wang tersebut boleh dibayar kembali dengan membuat potongan daripada gaji bulanannya.

“Mereka boleh tolak, bukan ada masalah. Yang menjadi masalah jika saya menggunakan kad kredit lebih had. Kalau diminta pun, bukan saya tidak mahu bayar, saya sudah bersetuju mana-mana perbelanjaan yang dibuat boleh potong gaji saya, bukan susah pun.

“Ini bukan jenayah, saya bukan guna duit tersebut pergi karaoke. Hanya kerana saya pemimpin Bersatu, sengaja nak buat isu?” soalnya lagi.

Suhaili adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan dilantik ke Mara pada tahun 2021 lalu di bawah kerajaan PN.

Suhaili menyandang lima jawatan dalam Mara adalah atas kapasiti beliau sebagai Pengarah Eksekutif Mara Corp. dan sebagai ahli pengurusan syarikat Mara Corp.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN