Jualan ‘terlajak murah’ PJKM, penduduk Jerantut teruja berbelanja - Utusan Malaysia

Jualan ‘terlajak murah’ PJKM, penduduk Jerantut teruja berbelanja

PENGGUNA memilih barang keperluan dapur di khemah Program Jualan Keluarga Malaysia di hadapan Pasar Raya TF bandar Inderapura di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Hampir 1,400 orang pengguna membanjiri Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di bawah penyelenggaraan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Jerantut di Pasar Raya TF bandar Inderapura di sini hari ini.

Pengguna mula beratur di depan khemah PJKM seawal 30 minit sebelum jualan bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal serta dipantau petugas pasar raya tersebut.

Rata-rata pengguna menyifatkan harga barang keperluan dapur ‘terlajak murah’ yang dijual di PJKM selama dua hari berakhir hari ini memberikan keselesaan serta menjimatkan perbelanjaan khususnya dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.

Dalam kenyataan pihak pengurusan Pasar Raya TF di sini, antara barang dapur yang terlajak murah dan dijamin segar, iaitu ikan saba satu kilogram berharga RM8.49, ikan pelaling (RM10.99/kg), ayam (RM7.99/kg), susu Saji (RM1.99), Milo (RM14.99/kg) dan pelbagai jenis barang keperluan dapur sesuai untuk pengguna menjimatkan perbelanjaan.

Ketua Cawangan KPDNHEP Jerantut, Abdul Mubin Ahmad berkata, kemudahan jualan barang keperluan dapur di PJKM memberikan keselesaan penduduk daerah ini berbelanja dengan kadar 20 peratus rendah berbanding harga di pasaran.

“Kita dapati sambutan amat menggalakkan terutamanya pemilihan barang keperluan utama seperti ayam, telur, ikan dan sebagainya kerana stok jualan di pasar raya ini mencukupi.

“PJKM ini yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 Disember tahun lalu cukup signifikan bagi golongan berpendapatan rendah berbelanja dengan lebih menjimatkan barang keperluan dapur yang segar,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, penduduk Kampung Pagi, Ulu Tembeling, Mi Hamidi Nipah, 48, berkata, dia mengambil kesempatan berbelanja di PJKM kerana harga barang lebih murah serta jaminan kualiti dan segar.

“Memandangkan bulan Ramadan semakin hampir seeloknya jualan PJKM lebih kerap di pasar raya yang terpilih termasuk melebarkan program ini di lokasi yang berdekatan kampung bagi memudahkan penduduk Ulu Tembeling berbelanja.

“Sememangnya penduduk di luar bandar mengharapkan PJKM diadakan sepanjang bulan Ramadan bagi memudahkan serta keselesaan berbelanja barang keperluan dapur yang murah,” katanya.

Suri rumah, Marzita Mohamad, 50, berkata, dia teruja berbelanja barang keperluan dapur untuk tempoh dua minggu sambil berharap PJKM diteruskan lagi selepas ini.

“Bagi kami suri rumah memang mengharapkan barang yang dibeli dengan lebih murah lebih lagi meringankan beban suami yang cuma berpendapatan kecil setiap bulan,” jelasnya.

Katanya, usaha KPDNHEP Pahang dipuji kerana cukup cakna dengan kebajikan penduduk berpendapatan rendah dan pengguna lain ketika ini berdepan tekanan kenaikan harga barang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya