Johor mengundi 12 Mac - Utusan Malaysia

Johor mengundi 12 Mac

ABDUL Ghani Salleh pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan bakal menyaksikan pertarungan sengit 12 parti politik utama bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Parti-parti yang sudah mengumumkan bertanding adalah Barisan Nasional (BN) iaitu UMNO, MIC, MCA; Pakatan Harapan (PH) disertai PKR, DAP dan Amanah, Perikatan Nasional (PN) dianggotai Bersatu, Pas dan Gerakan.

Selain itu, beberapa parti yang baru ditubuhkan seperti Muda, Pejuang dan Warisan mahu mencuba nasib dalam PRN kali ini.

Lebih menarik, PRN Johor akan menyaksikan lebih 750,000 pengundi muda atau Undi18 yang pertama kali mengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan orang ramai yang keluar mengundi pada PRN Johor sekitar 70 peratus daripada 2,597,742 pengundi  berdaftar.

Ini sama seperti yang disasarkan dalam PRN Melaka dan Sarawak yang berlangsung pada November dan Disember tahun lalu.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, PRN diadakan selepas pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN, Suhaizan Kayat berhubung pembubaran DUN ke-14 pada 23 Januari lalu,

Katanya, pelaksanaan PRN seperti termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Sehubungan itu, SPR menetapkan hari penamaan calon pada 26 Februari manakala hari mengundi awal pula 8 Mac.

Katanya, tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam, 11 Mac.

Menurutnya, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan adalah Daftar Pemilih Induk 2021 yang dikemas kini sehingga 21 Januari lalu.

Daftar itu jelas beliau, mengandungi 2,597,742 pengundi terdiri daripada 2,574,835 pengundi biasa, 10,955 anggota tentera dan pasangan, 11,576 anggota polis bersama pasangan serta 376 pengundi tidak hadir luar negara.

“Bagi urusan permohonan pengundi pos di luar dan dalam negara bermula hari ini.

“Bagi pengundi luar negara dan sembilan agensi sektor keselamatan, tarikh tutup mengundi pada 18 Februari,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Konvensyen Persada Johor semalam.

Menurutnya, permohonan pengundi pos dilaksanakan secara dalam talian melalui MySPR Daftar di pautan https://mysprdaftar.spr.gov.my.

“Bagi kelayakan pengundi pos kategori luar negara yang dilaksanakan sebelum ini telah dimansuhkan antaranya ialah bermastautin di luar negara kecuali wilayah Selatan Thailand (Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei dan Kalimantan, Indonesia,” ujarnya.

Abdul Ghani menambah, sebanyak 55 pusat penamaan calon (PPC) dan 56 pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU) akan digunakan.

Manakala 1,021 pusat mengundi biasa pula mengandungi 4,638 tempat mengundi (saluran) dan 64 pusat mengundi awal menggunakan 82 tempat mengundi.

“Semua 962 pusat mengundi biasa akan dibuka dari pukul 8 pagi hingga 6 petang dan baki 59  pusat dibuka mengikut waktu diwartakan.

“Manakala 29 pusat mengundi awal pula dibuka dari pukul 8 pagi hingga 2 petang. Baki 26 pusat mengundi awal akan dibuka dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.

“Seramai 49,290 petugas akan dilantik untuk mengendalikan proses PRN yang dianggarkan menelan belanja sebanyak RM96 juta,” jelasnya.

Abdul Ghani berkata, tempoh pengundian dari pukul 8 pagi juga dianjakkan sehingga pukul 6 petang iaitu pertambahan masa selama 30 minit bagi memberikan peluang kepada orang ramai menunaikan tanggungjawab mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×