PETALING JAYA: Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad mempersoalkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang dijanjikan membawa aspirasi politik yang berbeza terutamanya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.
Beliau berkata, ini berikutan parti diketuai Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri itu tidak membawa perbezaan seperti mana ahli Parlimen Muar itu berada dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini.
Katanya, ini kerana Bersatu juga berada sebagai parti komponen dalam PH sebelum ini.
“Muda dibawa oleh Syed Saddiq untuk berpakat dengan PH iaitu DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam PRN Johor.
“Samalah macam pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Masa itu, Syed Saddiq dalam Bersatu dan Bersatu juga berada dalam PH. Jadi apa bezanya aspirasi Muda dengan aspirasi PH?
“Dijanji Muda akan bawa politik yang berbeza. Kalau balik kepada PH, iaitu politik PRU-14, apa yang baharu dan berbeza? Sama saja. Same old, same old!,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.
Semalam, media melaporkan, Parti Amanah dan DAP mencapai persetujuan menjadi rakan strategik bersama Muda dalam PRN Johor pada 12 Mac ini.
Hasil kesepakatan ketiga-tiga parti tersebut, Muda bertanding di enam kerusi iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.