Kes selesai, David Balisong pulang ke Britain hari ini

Kes selesai, David Balisong pulang ke Britain hari ini

DAVID BALISONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Remaja Britain, David Balisong, 17, yang ditemukan di sebuah hotel di Jalan Pudu dekat sini kelmarin selepas menghilangkan diri sejak tiga bulan lalu, pulang ke negara asalnya hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kes kehilangan remaja berkenaan dianggap selesai dan dia telah diserahkan kepada ibunya, semalam.

“Siasatan mendapati tiada unsur jenayah atau salah laku dalam kes kehilangan remaja ini.

“Remaja itu telah diserahkan kepada ibunya setelah pihak polis selesai jalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

David ditemukan kira-kira pukul 7 malam oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur selepas menerima maklumat daripada aktivis masyarakat, Uncle Kentang atau nama sebenarnya, Kuan Chee Heng.

Ketika ditemukan, David berada dalam keadaan baik namun penampilannya berubah dengan tubuhnya terlalu kurus dipercayai kerana hanya menikmati makanan segera sepanjang tempoh menghilangkan diri.

Uncle Kentang ketika dihubungi Utusan Malaysia memaklumkan, David dipercayai telah menyewa bilik hotel itu sejak 14 Julai lalu.

Katanya, sepanjang tempoh itu, remaja berkenaan tinggal bersama empat pengembara dari beberapa negara.

Berita kehilangan remaja itu mencetus tanda tanya pelbagai pihak selepas dia dilaporkan hilang setibanya di negara ini menaiki pesawat Etihad Airways.

Tiga hari selepas kehilangan remaja itu, keluarganya ada menerima e-mel yang tidak jelas, kononnya daripada David yang memohon maaf dan meminta agar mereka tidak mencarinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×