‘Bantu kami cari David’

‘Bantu kami cari David’

MINERVA BALISONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Saya merayu kepada rakyat Malaysia, bantulah kami mencari David. Kami sekeluarga amat merinduinya.”

Demikian keluhan Minerva Balisong, 51, terhadap anaknya David Balisong, 17, yang hilang sejak 7 Jun lalu.

Minerva berasal dari Filipina tetapi menetap di United Kingdom (UK) sejak 24 tahun lalu berkata, kehilangan anak sulung daripada tiga beradik itu mula disedari apabila tidak pulang selepas keluar untuk menduduki peperiksaan A-Level.

Menurutnya, David berlepas seorang diri dari UK ke Kuala Lumpur tanpa pengetahuan keluarga sebelum gagal dikesan sehingga kini.

Minerva juga telah membuat laporan kepada pihak berkuasa UK pada hari yang sama kerana bimbang keselamatan anaknya yang tidak pernah berbuat demikian sebelum ini.

“Hasil siasatan mendapati David menaiki penerbangan dari UK ke Abu Dhabi sebelum ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6 Jun lalu. Jabatan Imigresen Malaysia turut mengesahkan dia masuk ke negara ini pada 7 Jun,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) mengesahkan seorang remaja lelaki warga Britain yang dilaporkan hilang di negara asalnya, masuk ke Malaysia pada 7 Jun lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, semakan mendapati remaja tersebut, David Balisong, masuk melalui KLIA pada 8.29 pagi, hari terbabit.

Tambah Minerva, tiga hari selepas kehilangan anaknya, keluarganya telah menerima satu e-mel daripada alamat tidak dikenali yang mendakwa ia ditulis David, namun kandu­ngannya mencurigakan dan tiada maklumat lokasi sebenar.

“Semua panggilan telefon, mesej suara dan pesanan keluarga tidak pernah dijawab, malah telefon bimbit David juga tidak dapat dihubungi sehingga kini,’ katanya.

Minerva berkata, dia amat bimbang jikalau anaknya terjebak dengan sindiket peni­puan dalam talian atau aktiviti pemerdagangan manusia kerana kebolehannya dalam bidang komputer mungkin dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab.

“David ada mengeluarkan wang simpanannya 1,300 pound sterling (RM7,349) sejak Mac lalu, justeru saya percaya dia dipengaruhi individu tertentu. Sebagai remaja, dia tidak mampu menguruskan semuanya seorang diri,” katanya.

Minerva berkata, ia datang ke Malaysia sejak Julai lalu dengan bantuan ahli keluarga dari Filipina dan Kanada untuk mencari anaknya serta merayu pihak berkuasa mempercepat usaha mengesan keberadaan David. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN