Jangan telampau yakin di Johor, Ahmad Zahid beritahu jentera BN - Utusan Malaysia

Jangan telampau yakin di Johor, Ahmad Zahid beritahu jentera BN

AHMAD Zahid Hamidi bersama bersama barisan kepimpinan BN mengibarkan bendera BN pada Pelancaran Jentera Barisan Nasional Pusat Operasi Zon Barat di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Barisan Nasional (BN) tidak boleh terlalu yakin dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor walaupun menang besar dalam PRN Melaka dan siri-siri Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, PRN Johor bukan pilihan raya yang biasa tetapi amat istimewa untuk menjulang semula nama BN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Maka, beliau berkata, ramai musuh politik BN yang berhadapan dengan kekalahan sebelum ini sudah tentu akan menjadikan Johor sebagai gelanggang untuk mereka menebus malu.

“Saya lihat berpusu-pusu jentera kita dengan penuh semangat datang (malam ini). Dalam hal ini kita pula jangan terlampau yakin (walaupun) kita menang banyak PRK, PRN Melaka dan rakan kita di Sarawak.

“Jangan pandang ringan strategi dan langkah yang akan dilakukan oleh mereka. Tetapi saya yakin jentera BN amat tersusun, komitmen tinggi, semangat perkasa maka tiada sebab BN tak boleh menang dan jadi kerajaan semula di Johor,” katanya ketika melancarkan Jentera BN Zon Barat di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan; Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan pimpinan utama lain.

Pada masa sama, Ahmad Zahid mengumumkan Hasni akan dilantik semula sebagai Menteri Besar sekiranya BN membentuk kerajaan negeri kelak.

Sementara itu, beliau juga memaklumkan telah meminta Hasni berunding dengan ketua-ketua bahagian untuk menampilkan calon-calon terbaik bagi menjanjikan perubahan kepada Johor.

“Ketua bahagian pun saya dah faham orang baik-baik, bukan calon nama sendiri sahaja. Jangan lupa PRN ini ramai pengundi muda, maka ramai-ramaikan lah calon muda. Jangan lupa wanita juga ramai, carilah calon wanita dan jangan lupa juga orang lama yang banyak berjasa.

“Kita mahukan perubahan di Johor, maka calon-calon mesti ada konsep WALI yang digariskan sebelum ini,” katanya yang berseloroh tidak perlukan kabel untuk menjadi calon.

Ahmad Zahid turut berpesan, tidak penting calon tersebut dari parti mana kerana apa yang penting mereka mewakili BN yang kesemua parti wajib menyokong.

Katanya, ketika ini juga bukan masa yang sesuai untuk berbeza pendapat dan berhati-hati untuk mengeluarkan pandangan tidak kira ianya bersifat peribadi atau rasmi demi menjaga hati rakan-rakan dalam komponen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN