PETALING JAYA: Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari diminta terus memujuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri PN agar memberikan sokongan terhadap pengeluaran khas i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau optimis bahawa menteri-menteri PN akhirnya akan menyokong permintaan pengeluaran khas itu menerusi sokongan Ahmad Fadhli.
Ahli Parlimen Pekan itu berpendapat, masa paling tepat bagi kerajaan membenarkan pengeluaran khas kali terakhir i-Citra ialah selepas dividen 2021 yang akan dibayar tidak lama lagi.
“Dengan sokongan Ketua Pemuda PN merangkap Ketua Pemuda Pas semalam, saya lebih optimis bahawa menteri-menteri PN akhirnya tidak lagi membantah tetapi akan menyokong permintaan pengeluaran khas ini dan ianya akan menjadi realiti.
“Harap Ketua Pemuda PN seorang ini akan berusaha untuk memujuk Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Muhyiddin) dan Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang) serta menteri-menteri PN bagi memberi sokongan,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Sebelum ini, Ahmad Fadhli dilaporkan bersetuju jika kerajaan benarkan pengeluaran KWSP RM10,000 untuk pencarum yang terjejas.
Dalam pada itu, Najib berkata, prestasi KWSP bagi 2021 adalah lebih baik disebabkan pelaburan luar negara terutamanya di Amerika Syarikat mendapat pulangan sangat baik.
Katanya, walaupun dividen masih rendah berbanding kadar 6.9 peratus bagi dividen tahun 2017 sebelum ekonomi merudum selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) namun ramalan dividen antara 5.2 peratus hingga 6 peratus bagi tahun lalu masih pada kadar yang baik.
“Biarpun prestasi Bursa Malaysia antara paling teruk dalam dunia bagi 2021 akibat darurat menggantung Parlimen, sekatan penuh pergerakan separuh masak berbulan-bulan lamanya, ketidakstabilan politik dan aliran keluar dana asing sangat besar sejak PRU-14, namun prestasi bursa saham negara lain luar biasa baik dan berulang kali mencatat paras tertinggi dalam sejarah,” katanya.- UTUSAN